Monday, July 5, 2010

Jiwa tenang di Kuantan Tembeling Resort




TATKALA melangkah masuk ke Kuantan Tembeling Resort di Teluk Chempedak perasaan pasti akan teruja dengan keindahan alam yang ditawarkan.

Mungkin tidak popular seperti resort antarabangsa bertaraf lima bintang, tetapi dengan berlatarbelakangkan lautan luas biru ia ada tarikan tersendiri.

Apatah lagi kejernihan airnya seakan memanggil pengunjung untuk menikmati kesegaran alam ciptaan Tuhan.

Kuantan Tembeling Resort boleh dikatakan destinasi percutian yang indah dan selesa. Malah ia boleh dijadikan destinasi bagi melampiaskan keinginan percutian anda.

Jika anda berhajat untuk mencari ketenangan, melarikan diri dari tekanan kerja dan ingin bersendiri, resort ini adalah pilihan terbaik.

Suasananya aman dan damai juga sesuai untuk pasangan pengantin baru berbulan madu.

Resort yang telah beroperasi sejak 1998 itu terletak di atas bukit sambil mengadap Laut China Selatan yang membiru.

Malah pandangan pengunjung yang menjejakkan kaki ke situ pasti tertumpah pada keindahan yang ditawarkan sambil dapat melihat ombak menderu menghempas pantai melalui jendela kamar.

Terletak hanya kira-kira 200 meter dari pantai, Kuantan Tembeling Resort yang berkonsepkan apartmen juga berjiran dengan Hutan Simpan Beserah yang kaya dengan flora dan fauna.

Di samping dapat menikmati keindahan laut yang mempesona, pengunjung juga boleh merasai sendiri kehijauan hutan dara yang masih dijaga dengan baik.

Perjalanan kira-kira lapan kilometer dari bandar Kuantan, pengunjung hanya mengambil masa lima minit untuk sampai ke sini.

Sebaik melepasi Kelab Golf Diraja Pahang, pengunjung akan mula merasai suasana rimba yang damai dengan bunyi-bunyian unggas di kiri kanan jalan sebelum masuk ke resort itu yang dikelilingi pohon-pohon menghijau.

Kuantan Tembeling Resort menyediakan pelbagai pakej menarik termasuk bilik pada harga berpatutan.

Pelbagai aktiviti menarik juga disediakan untuk mereka yang datang menginap di situ.

Menurut Pengurusnya, Yup Abd. Ghani, pada mulanya apartmen enam blok yang menempatkan 403 unit kediaman itu dibina untuk dijual kepada orang ramai.

Bagaimanapun, hasil perbincangan bersama, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk memberi peluang kepada pelancong untuk turut sama menikmati dan merasai suasana penginapan di perumahan eksklusif tepi pantai dengan menyewakannya mulai tahun 2004.

Menerusi Kuantan Tembeling Resort Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat Pasdec, katanya, sebanyak 40 unit apartmen yang lengkap dengan perabot disediakan kepada orang ramai yang ingin menginap di situ sama ada disewa secara harian atau bulanan.

Selebihnya sebanyak 360 unit telah dibeli oleh orang perseorangan malah ada juga pelancong asing yang memiliki kediaman di resort itu antaranya Singapura, Jepun dan Australia.

"Di sini kami menyediakan apartmen dari satu bilik hingga ke tiga bilik dan amat bersesuaian untuk mereka yang datang bersama keluarga mahupun secara berkumpulan dengan kadar sewa berpatutan," katanya.

Pengunjung juga boleh membuat pilihan sama ada memilih pemandangan berhadapan laut biru tenang atau menikmati kehijauan hutan simpan bergantung kepada cita rasa masing-masing.

"Terdapat pelbagai kemudahan rekreasi seperti kolam renang, sauna, jakuzi, gimnasium, gelanggang tenis, skuasy, pingpong dan snuker disediakan untuk pengunjung menghabiskan masa bersama keluarga dan rakan-rakan," katanya.

Bagi syarikat atau organisasi yang ingin menganjurkan seminar atau mesyuarat, Kuantan Tembeling Resort ada menyediakan bilik seminar yang memuatkan 100 orang dalam satu-satu masa selain sebuah restoran makanan Lemon Grass yang menyediakan pelbagai jenis masakan panas dan barat.

"Kemudahan itu sekali gus membolehkan program latihan, sesi memerah otak dan kerja intensif dijalankan dalam suasana penuh ketenangan dan dapat menghilangkan tekanan kerja bagi setiap peserta," ujarnya.

Selain itu, lokasinya juga strategik kerana dari situ pengunjung cuma mengambil masa hanya lima minit untuk ke Mini Zoo Teruntum yang menempatkan beberapa jenis haiwan dan sebuah Kelab Golf Diraja Pahang berdepan mini zoo tersebut.

"Resort ini menyediakan kawalan keselamatan 24 jam dan pengunjung yang menginap di sini tidak perlu bimbang mengenai keselamatan barangan mereka selain orang luar tidak dibenarkan masuk kecuali mempunyai urusan kerja," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: