KUALA LUMPUR: Penyanyi Ameng (Spring) hari ini ditegur oleh mahkamah kerana datang lewat bagi sebutan semula kes penyalahgunaan dadah jenis ganja melibatkannya.
Majistret Zaki Asyraf Zubir menegur penyanyi itu kerana kelewatannya membuatkan mahkamah terpaksa berehat kira-kira 20 minit sementara menanti kehadiran Ameng kira-kira pukul 9.15 pagi.
Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 42, memberi alasan kelewatannya akibat kesesakan lalu lintas.
Sementara itu, mahkamah menetapkan 9 dan 10 Ogos ini sebagai tarikh perbicaraan Ameng atas dakwaan melakukan kesalahan penyalahgunaan dadah dengan memasukkan ganja ke dalam badan.
Zaki Asyraf menetapkan tarikh itu selepas peguam mewakili Ameng, Kamarulzaman Abdul Rahman memohon agar mahkamah mendapatkan tarikh baru bagi perbicaraan kes tersebut.
Terdahulu, Kamarulzaman menyatakan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan menghantar satu representasi bagi kes berkenaan secepat mungkin.
"Saya akan menghantar representasi itu esok untuk membolehkan mahkamah mengkaji semula pertuduhan terhadap Ameng," jelasnya ketika ditemui di luar mahkamah.
Pada 12 Mei lalu Ameng mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan, penyanyi yang popular dengan lagu Sampai Hati dan Bougenvilla itu didakwa memasukkan dadah jenis kanabis atau ganja ke dalam badannya ketika ditahan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, dekat sini, pukul 3.45 pagi, pada 2 April lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: