KERAP muncul di layar perak mahupun kaca TV membuktikan Lisa Surihani antara pelakon wanita terhangat di pasaran. Diakui tanpa permintaan penonton, Lisa tidak mungkin akan mendapat tawaran tanpa henti.
Namun, tidakkah Lisa takut kekerapan itu akan menimbulkan perasaan bosan di kalangan penonton? Lisa yang ditemui pada sidang media mempromosikan drama terbarunya, Tudung Ekspres baru-baru ini memberitahu dia tidak boleh memuaskan hati semua pihak.
"Itu semua terpulang kepada pandangan masing-masing. Kalau kita jarang keluar, orang akan cakap kita sudah tidak popular. Kalau seseorang pelakon itu kerap dilihat, ada pula yang akan berkata bosan. Apa yang penting adalah saya melakukan yang terbaik bagi setiap kerja yang ditugaskan.
"Ia juga berkaitan dengan rezeki. Jika penonton sudah bosan, maka, secara automatik saya juga tidak akan mendapat tawaran. Rasanya industri ini banyak bergantung kepada penerimaan audiens," jelasnya.
Bagi menjaga kualiti lakonan, Lisa hanya mengambil satu projek pada satu masa. Ini juga bermaksud dia ada kalanya perlu menolak tawaran yang diberikan.
"Walaupun ada masanya saya ingin melakukan banyak perkara pada satu masa, saya tidak boleh membahagikan masa. Semakin lama dalam industri, saya kini lebih selektif.
"Namun, proses membuat pemilihan dan keputusan tidak berada di tangan saya sahaja. Perbandingan antara projek perlu dibuat oleh pihak pengurusan dan saya. Elemen masa, skrip dan bayaran menjadi antara faktor utama," katanya lagi.
Bakal terlibat dalam filem arahan Osman Ali, Ombak Rindu, Lisa menjayakan watak Erin, seorang gadis bertudung yang kelam-kabut. Memakai tudung sepanjang penggambaran tidak menjadi masalah kepada Lisa.
Namun, apa yang memberi cabaran kepadannya kali adalah menjadi comel dan lucu. Lagipun ini bukan kali pertama Lisa bertudung untuk menjayakan sesebuah drama. "Setiap watak ada cabarannya tertentu. Dalam Tudung Ekspres, saya perlu memastikan lakonan saya mampu mencuit hati penonton.
"Kalau cakap pasal bertudung, saya pernah berlakon dalam drama Ayah Kami semasa berusia 16 tahun. Jadi penggambaran kali ini tidak memberikan sebarang rasa janggal. Jika bercakap mengenai bertudung, ia satu persoalan yang agak peribadi. Keikhlasan itu penting dan kehendak itu datang sendiri. Buat masa ini, saya secara peribadi belum bersedia untuk bertudung," tambahnya.
Sementara itu, Julia Ziegler yang hanya berusia 26 tahun dipilih untuk menggalas watak Dira, wanita berusia awal 30-an. Namun, Julia sedikit pun tidak kisah dengan penampilan 'tua' dirinya. Lagipun ini merupakan kali pertama dia memegang peranan sebagai mak cik bertudung.
"Selalunya saya hanya diberikan watak jahat. Jadi watak muslimah ini amat menarik. Ia boleh menunjukkan sisi lakonan saya yang lain. Selain daripada itu, saya juga menjayakan watak sebagai ibu buat kali pertama," kata Julia.
Dira, seorang wanita yang mengutamakan kesempurnaan turut mengamalkan cara pemakanan sihat. Perwatakan itu sedikit sebanyak mempengaruhi Julia yang menyumbang kepada penurunan berat badannya.
"Dira tidak suka makan di luar dan memastikan makanan yang diambil kurang gula, minyak serta garam. Saya terbawa-bawa dengan sikapnya itu sehinggakan berat badan saya turun. Rasanya sepanjang penggambaran, berat badan saya sudah turun sebanyak 10 kilogram," ujarnya.
Menjalankan penggambaran selama sebulan, Tudung Ekspres yang mengisahkan cerita empat wanita Erin, Dira, Mei (Chermaine Poo) dan Del (Linda Hashim) yang berhijrah dari kampung untuk bekerja di bandar.
Menariknya, sebahagian besar daripada penggambaran dijalankan di atas komuter. "Kami menceritakan bagaimana persahabatan yang terjalin atas komuter. Penggambaran di atas komuter amat mencabar kerana ia dilakukan semasa sesak dengan penumpang.
"Selain di stesen KL Sentral, penggambaran juga dijalankan sehingga Tanjung Malim serta di Subang Jaya," kata pengarahnya, Faizal Ishak.
Mahu memberikan idea bahawa mereka yang bertudung tidak semestinya berfikiran kolot atau ketinggalan dalam komuniti, ada sebabnya mengapa pihak produksi tidak memilih mereka yang bertudung sebagai pelakonnya.
"Memang kami ada terfikir isu itu tetapi dalam drama ini, kami ada banyak babak di dalam rumah. Jadi kalau mereka yang bertudung, agak sukar bagi mereka untuk membuka tudung di depan kamera," jelas Faizal lagi.
Tudung Ekspres akan ditayangkan pada setiap Khamis bermula 8 Julai di saluran Astro Prima (Astro 105), pada pukul 9.30 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: