Wednesday, July 28, 2010

Lelaki proses dadah dalam rumah


SHAKARUDDIN (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian dadah dan peralatan yang dirampas daripada seorang lelaki pada sidang akhbar di Kajang semalam.


KAJANG - Kegiatan jahat seorang lelaki yang bukan sahaja menjadikan rumahnya sebagai makmal memproses dadah, malah turut menyimpan 48 butir kelongsong peluru dan 11 penutup bom tangan terbongkar apabila kediamannya diserbu kelmarin.

Serbuan pada pukul 4 petang di sebuah rumah teres di Taman Paling Jaya, Semenyih di sini itu dilakukan selepas polis menjalankan siasatan sebaik menerima maklumat mengenai kegiatan suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an sejak enam bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Shakarudin Che Mood berkata, polis merampas pelbagai jenis dadah berserta peralatan untuk membuat dadah di rumah berkenaan.

"Antara dadah yang dirampas termasuk syabu, ketamin dan ekstasi yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM23,000. Peralatannya pula ialah ketuhar, pengering rambut dan acuan pil.

"Kita percaya suspek merupakan seorang pengedar dadah berbahaya kerana kita turut menjumpai 48 butir kelongsong peluru iaitu 12 untuk senapang patah dan 36 untuk raifal M16 serta 11 penutup bom tangan.

"Bagaimanapun, tiada bom tangan dan senjata api dijumpai," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: