PETALING JAYA: Sebanyak lapan buah kumpulan muzik telah dipilih untuk menyertai peringkat akhir pertandingan Rentak Juara Akhir 2010 yang akan diadakan pada 17 Julai ini.
Kumpulan tersebut ialah Superfriends, Car Crash Hearts (CCH), Enigmatic - Six (E-6), Anthem, Enava, Alternature, D'Rough Mixture dan Brownees.
Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Pengarah Seksyen Produksi TV, Norliza Md Ali pada sidang media Acara Kemuncak Rentak Juara Akhir 2010 di pusat karaoke RedBox, The Gardens, Kuala Lumpur, Khamis.
Turut hadir, Penerbit Eksekutif rancangan itu merangkap Pengarah Orkestra RTM, Datuk Mokhzani Ismail.
Rentak Juara 2010 bertujuan menyediakan platform bagi mengetengahkan bakat pemuzik pelbagai kaum di negara ini yang serba boleh dan bermutu.
Pada tahun ini, Rentak Juara yang berslogan baru, "Julang Jati Diri" melibatkan pemuzik amatur dan profesional. Ia memperjuangkan lagu-lagu ciptaan tempatan berbahasa Malaysia dan lagu ciptaan sendiri.
Menurut Norliza, seramai 400 buah kumpulan telah menghadiri uji bakat sejak Januari lalu dan 30 kumpulan terbaik dipilih untuk bersaing dalam minggu konsert suku akhir.
Beliau berkata, di peringkat separuh akhir pula, para juri profesional akhirnya memilih enam kumpulan dari separuh akhir pertama dan kedua untuk mara ke peringkat akhir.
Katanya, dua lagi kumpulan yang berjaya meraih keputusan undian tertinggi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) turut layak ke final.
"Negara kita mempunyai banyak band yang berbakat dan berjiwa seni. Terdapat banyak program realiti di luar tetapi pencarian band berbakat masih kurang.
"Oleh itu, Rentak Juara ingin mempelbagaikan pertandingan untuk mengenalpasti band berbakat.
Jadi, RTM telah memilih lapan band ke peringkat akhir dan yakin mereka akan membuat persembahan hebat pada pertandingan akhir nanti," kata Norliza.
Terdapat lima kategori hadiah disediakan menanti pemenang.
Juara akan menerima wang tunai berjumlah RM200,000 sementara Naib Juara (RM50,000)
Kumpulan Paling Popular membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 manakala Lagu Terbaik menerima wang tunai sebanyak RM20,000.
Semua pemenang akan menerima trofi.
Selain itu, terdapat lima lagi kategori hadiah bagi pemenang individu iaitu Vokal Terbaik, Pemain Gitar Terbaik, Pemain Dram Terbaik, Pemain Bass Terbaik dan Pemain Keyboard Terbaik. Hadiah ditaja oleh JS Music Sdn Bhd.
Sementara itu, konsert Pra-Rentak Juara yang membariskan lapan finalis tersebut akan bersiaran dari Auditorium Perdana Angkasapuri pada Sabtu ini, pukul 8.30 malam menerusi RTM2.
Konsert Akhir Rentak Juara 2010 akan berlangsung di Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban pukul 8.30 malam di saluran yang sama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: