PIALA DUNIA 2010 di Afrika Selatan sampai ke kemuncaknya, peminat bola sepak dapat melihat pemain bertaraf terbaik dunia mempamerkan aksi dan kemahiran mereka. Namun pada masa sama jangan dilupakan satu pasukan bola sepak remaja dari Jitra, Kedah, yang secara diamnya mengharumkan nama negara.
SEPAKAT...pemain berbincang sebelum memulakan latihan.
MSS Kedah antara 20 pasukan bola sepak remaja bawah 15 tahun dari seluruh dunia yang akan berentap dalam kejohanan bermula 4 hingga 7 Ogos depan.
Mereka juga bakal berdepan pasukan remaja kelab handalan dunia seperti Manchester United dan Newcastle United (England), Barcelona (Sepanyol), FC Porto (Portugal), Werder Bremen (Jerman) dan Paris St Germain (Perancis).
Kelab lain yang terbabit dalam MUPC ialah Torino (Itali); Bucaspor (Turki); Colo-Colo (Chile); Internacional (Brazil); Pachuca FC (Mexico); Alta Loma Arsenal (Amerika Syarikat); Sutherland Sharks (Australia); Orlando Pirates (Afrika Selatan); Right To Dream (Ghana); Ulsan Hyundai Middle School (Korea Selatan); Kyoto Sanga FC (Jepun); Changchun Yatai FC (China) dan Shillong Lajong FC (India).
Ketua Jurulatih MSS Kedah, Barkis Ismail berkata, kejayaan MSS Kedah layak ke kejohanan itu membanggakan kerana mereka pasukan tempatan pertama berjaya ke MUPC yang bermula sejak 1993.
"Ia bagus kerana pemain remaja kita mendapat pendedahan dengan corak permainan peringkat antarabangsa.
"Peluang ini tidak seharusnya dilepaskan untuk membuktikan kita sebenarnya tidak ketandusan bakat," katanya ketika ditemui di Jitra, Kedah, baru-baru ini.
Beliau berkata, peluang berdepan pemain dari kelab terkenal Eropah juga bakal memberi pengalaman berharga kepada pemainnya.
"Mereka mungkin kekurangan daripada segi fizikal, tetapi kita akan bermain secara bijak tanpa bergantung sepenuhnya kepada saiz fizikal," katanya.
MSS Kedah dibarisi pemain yang dididik dari Projek 10 Tahun Pembangunan Bola Sepak MSS Kedah yang bermula pada 2005, manakala 16 pemain dalam skuad sekarang mula dikumpulkan sejak dua tahun lalu.
Sebahagian daripada mereka juga berpengalaman bermain di peringkat antarabangsa ketika menyertai Piala Danone di Perancis pada 2006 dan Piala Cuppy di Croatia pada 2007.
Skuad itu layak ke MUPC selepas muncul juara peringkat Asia Tenggara yang diadakan di Pulau Pinang pada 7 hingga 10 Jun lalu dengan menewaskan pasukan dari Indonesia, Villa 2000, 5-3 dalam penentuan sepakan penalti.
Sebelum ini MSS Kedah adalah juara peringkat kebangsaan apabila menewaskan SMK Putera, Kota Bharu, Kelantan 1-0 di Bukit Jalil pada 22 Mei lalu.
Dalam kejohanan itu, dua pemain MSS Kedah iaitu pemain tengah, Muhammad Syafiq Ahmad, 15, dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai oleh jurulatih di peringkat Asia Tenggara, manakala penjaga gol, Mohd Anis Ismail, 15, dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik dalam kejohanan peringkat kebangsaan. Barkis berkata, skuad itu menjalani latihan intensif sejak tiga minggu lalu dan bersedia mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Muhammad Syafiq ketika ditemui berkata, dia tidak sabar-sabar untuk beraksi di Manchester dan berjanji memberi persembahan terbaik.
"Saya mahu membuktikan kita tidak ketandusan pemain berbakat dan mampu bersaing dengan pemain dari kelab ternama, terutama dari Eropah dan Amerika Selatan," katanya.
Seorang lagi pemain, Mohamad Amirul Hisyam Awang Kechik, 15, berharap kejohanan itu dapat membantunya mencapai cita-cita menjadi pemain bola sepak profesional.
"Pengalaman berdepan pemain remaja dari kelab ternama Eropah akan saya gunakan sebaik mungkin.
"Walaupun bertubuh kurus dan kecil, tetapi sebagai pemain tengah saya akan buktikan mampu bersaing dengan pemain Eropah yang kebanyakannya lebih sasa dengan corak permainan menggunakan kelebihan akal berbanding fizikal," katanya yang juga ketua pasukan MSS Kedah.
MUPC yang bermula sejak 1993 membabitkan penyertaan lebih 9,000 pasukan dari 43 negara seluruh dunia sejak ia dimulakan.
Malah, MUPC juga terkenal kerana melahirkan beberapa bintang bola sepak dunia, antaranya Fernando Torres, Andres Iniesta, Cesc Fabregas (Sepanyol); Carlos Tevez (Argentina) dan Robinho (Brazil).
Pemain kebangsaan seperti pasangan kembar, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Razak serta Mohd Khyril Muhymeen Zambri turut muncul dari gelanggang itu.
>INFO
> MUPC bakal disertai 20 pasukan dari seluruh dunia
> Pemain membabitkan Projek 10 Tahun Pembangunan Bola Sepak MSS Kedah
> Pemain pernah menyertai Piala Danone di Perancis pada 2006 dan Piala Cuppy di Croatia pada 2007
> MSS Kedah layak ke pusingan akhir MUPC selepas menjuarai peringkat Asia Tenggara
>PROFIL
NAMA: Muhammad Syafiq Ahmad
USIA: 15 tahun
PENDIDIKAN: Tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum, Jitra, Kedah
POSISI: Pemain tengah
PEMAIN IDOLA TEMPATAN: Badrol Bakhtiar (Kedah)
PEMAIN IDOLA LUAR NEGARA: Kaka (Brazil)
KELAB DIMINATI: Manchester United
ANUGERAH: Dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai dalam Piala Perdana Manchester United (MUPC) peringkat Asia Tenggara di Pulau Pinang
>PROFIL
NAMA: Mohamad Amirul Hisyam Awang Kechik
USIA: 15 tahun
PENDIDIKAN: Tingkatan tiga SMK Tunku Anum, Jitra, Kedah
POSISI: Pemain tengah (ketua pasukan MSS Kedah)
PEMAIN IDOLA TEMPATAN: Mohd Khyril Muhymeen Zambri (Kedah)
PEMAIN IDOLA: Cristiano Ronaldo (Portugal)
KELAB DIMINATI: Manchester United
>PROFIL
NAMA: Mohd Anis Ismail
USIA: 15 tahun
PENDIDIKAN: Tingkatan tiga SMK Tunku Anum, Jitra, Kedah
POSISI: Penjaga gol
PEMAIN IDOLA TEMPATAN: Sarbini Alwi (Terengganu)
PEMAIN IDOLA: Iker Casillas (Sepanyol)
KELAB DIMINATI: Real Madrid
ANUGERAH: Dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik dalam Piala Perdana Manchester United (MUPC) peringkat kebangsaan
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: