Sunday, July 11, 2010

Rentak Showdown Zebedee

MUNGKIN ada yang memandang sinis apabila diberitahu mengenai tarian jalanan kerana ia sering dikaitkan dengan keganasan, lepak dan samseng.

pix_middle
pix_topright

Itulah tanggungjawab Zebedee Ernest De Costa selaku penerbit rancangan pertandingan menari yang mengetengahkan tarian jalanan dan hip-hop, Showdown 2010.


Baginya, tarian jalanan di negara ini ada potensi untuk berkembang maju seiring dengan negara luar, namun kurang didedahkan sepenuhnya.


"Ramai anak muda di negara kita ada bakat dalam bidang ini, namun tidak tahu saluran mana harus digunakan untuk mengembangkan bakat dan potensi mereka.


"Tarian ini memerlukan teknik dan kemahiran seperti breakdancing, krumping dan popping, sekali gus merangsang pemikiran penari untuk lebih kreatif," katanya ketika ditemui di KL-Live, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bermula sebagai pembantu produksi, dia kini muncul antara penerbit muda yang berbakat besar dan diberi kepercayaan menerbitkan rancangan berskala besar.


Ditanya mengenai cabaran sepanjang mengendalikan Showdown 2010, Zebedee berkata, dia berdepan masalah kekurangan logistik.


Katanya, setiap kumpulan mempunyai lima hingga tujuh ahli dan pastinya memerlukan lebih ramai krew untuk menguruskan mereka.


"Setiap ahli dalam kumpulan mempunyai pemikiran dan gaya berbeza, oleh itu secara tidak langsung timbul masalah untuk menyatukan mereka.


"Ada ahli kumpulan disatukan dalam tempoh akhir iaitu ketika sesi uji bakat berlangsung dan adakalanya timbul ketidaksefahaman antara mereka," katanya yang enam tahun menceburi bidang penerbitan program televisyen (TV).


Tidak dinafikan ada kumpulan yang terbabit dalam program itu sengaja mencetus pergaduhan sesama mereka, terutama ketika sesi 'battle'.


Empat kumpulan di tangga terbawah perlu memasuki peringkat battle, di mana mereka dikehendaki berentap satu lawan satu seakan-akan gelanggang gusti, yang mana kumpulan yang menang akan mara ke peringkat seterusnya.

"Ketika ini mungkin timbul insiden yang mungkin boleh mencetuskan pergaduhan dalam usaha memenangi hati juri.


"Saya dan krew perlu bersiap sedia untuk menangani situasi berkenaan supaya tidak melarat dan lebih membimbangkan jika ia membabitkan penonton," katanya.


Zebedee berharap penerbitan rancangan seperti ini dapat memberi inspirasi kepada penari jalanan di negara ini supaya menjadikan ia sebagai kerjaya dan bukan sekadar hobi semata-mata.


"Tidak mustahil satu hari nanti mereka dapat menjadi duta negara dalam bidang ini untuk dipersembahkan ke negara luar," katanya.


Anak kelahiran Ujong Pasir, Melaka ini mempunyai perancangan untuk menerbitkan sebuah program dokumentari pelancongan.


"Saya mahu menjelajah negara yang kurang didedahkan sebelum ini di kaca TV dan mencari sesuatu yang menarik untuk dikongsi bersama penonton di negara ini," katanya.


PROFIL NAMA: Zebedee Ernest De Costa UMUR: 28 tahun ASAL: Ujong Pasir, Melaka KELUARGA: Anak sulung daripada enam beradik PROFESION: Produser Primeworks Studios Sdn Bhd PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia PENCAPAIAN: Penerbit rancangan Malaysian Idol (musim pertama dan kedua), One In A Million (musim pertama dan ketiga) dan So You Think You Can Dance (musim pertama dan kedua) ANUGERAH: Program Realiti Terbaik, Anugerah Skrin 2008 bagi program So You Think You Can Dance musim kedua

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: