Thursday, July 1, 2010

Kos kostum RM57 juta


KELOMPOK remaja elit yang bernafas dalam kehidupan penuh glamor, skandal dan gosip diteruskan menerusi Gossip Girl siri ketiga.


SEJAK siri pertama Gossip Girl disiarkan pada tahun 2007, ia menjadi sebuah fenomena apabila mendapat sambutan yang luar biasa daripada para penonton khususnya bagi golongan remaja sehingga mencecah empat juta penonton.

Bukan sekadar di Hollywood, tetapi hampir seluruh dunia menikmati drama berkisah keremajaan ini sehingga Gossip Girl menyambung sirinya ke musim kedua pada tahun 2008.

Apa yang membuatkan Gossip Girl meraih rating tinggi hampir di seluruh dunia bukan atas faktor plot penceritaannya sahaja, malah barisan pelakonnya yang cantik dan kacak menjadi perhatian serta fesyen pakaian yang glamor dan terkini menjadi ikutan ramai.

Mereka disaluti dengan pakaian-pakaian berjenama sehinggakan para pelakon khususnya wanita seperti Blake Lively, Leighton Meester, Jessica Szohr, Kelly Rutherford dan Taylor Momsen begitu obses dengan penampilan diri masing-masing.

Bayangkan nilai keseluruhan bagi kostum Gossip Girl sahaja mencecah RM57 juta dan siri Gossip Girl bagi musim ketiga menggunakan kostum yang terbanyak.

Bermula dari baju, beg tangan, kasut, barangan kemas serta aksesori lain yang kesemuanya berjenama, ia ditempatkan di sebuah bilik khas dengan ruang keluasan 139 meter persegi bagi setiap lima tingkat.


KEMUNCULAN Tyra Banks (kanan) menghangatkan lagi Gossip Girl musim ketiga.


Chase Crawford yang melakonkan watak Nate Archibald dalam siri ini berkata, dia serta pelakon-pelakon wanita lain menjadi 'gila' bila tiba ke bilik kostum yang menyediakan pelbagai pakaian yang sangat elegan.

"Sejurus sampai ke bilik tersebut, kami akan hilang sekelip mata sehingga berjam-jam lamanya. Ia ibaratkan seperti kanak-kanak yang masuk ke kedai coklat.

"Malah, saya sering memberitahu pihak produksi agar tidak menyusun jadual masa pemilihan kostum saya selepas Blake kerana dia akan menghabiskan masanya dalam bilik kostum itu sehingga melewatkan penggambaran babak lakonan saya," ujaranya kepada laman web fashion.gearlive.com.

Menurut pereka kostum siri itu pula, Eric Daman, dia perlu memikirkan pakaian yang memberikan personaliti berbeza bagi setiap karakter yang dibawakan oleh setiap pelakon utamanya.

"Walaupun ia sebuah siri televisyen, kostum adalah perkara yang penting. Saya perlu menyediakan 80 pasang baju bagi setiap episod.

"Apa yang memeningkan, saya perlu 'menapis' 80 pasang baju itu daripada 500 pasang yang disediakan. Walaupun ia sukar, tapi saya puas hati dengan para pelakon yang menggayakan pakaian yang disediakan itu dengan penuh keyakinan," katanya.

Dalam pada itu, Blake yang membawakan watak Serena Van Der Woodsen terlalu obses dengan imej yang dibawakan sehingga terikut-ikut imej tersebut di luar lokasi.

"Biarlah orang nak kata apa tapi saya suka untuk menampilkan diri seperti Serena!

"Saya mempunyai hampir setengah daripada kostum Serena dan rasanya ia begitu sesuai dengan umur saya," katanya yang sedang hangat bercinta dengan Penn Badgley yang membawakan watak Dan Humphrey dalam siri tersebut.

Begitu juga dengan Jessica Szohr, pelakon itu mula bijak membuat pilihan dalam pemakaian sejak menyertai Gossip Girl.


HILARY DUFF (kanan) diserahkan watak sebagai Olivia Burke kekasih terbaru Dan Humprey lakonan Penn Badgley.


Skandal

Tidak seperti dua musim sebelum ini, Gossip Girl yang sedang disiarkan di 8TV itu kini membongkar segala rahsia gelap dunia glamor dan skandal anak metropolitan New York.

Lebih menarik apabila bintang sensasi, Hilary Duff muncul sebagai pelakon undangan untuk watak Olivia Burke, seorang bintang popular yang mahu menjalani kehidupan kolej yang normal dan mula bercinta dengan Dan Humphrey (Penn Badgley).

Nama tersohor dalam dunia peragaan, Tyra Banks turut diundang. Tidak ketinggalan dua bintang jelita, JoAnna Gracia dan Sonya Harum turut 'menjelma' dalam Gossip Girl musim ketiga yang penuh dengan konflik dan skandal yang masih lagi menjadi intipati siri ini.

Plotnya berkisar ketika musim panas hampir tamat, Blair Waldorf (lakonan Leighton Meester) dan Chuck Bass (Ed Westwick) akhirnya telah meluahkan perasaan cinta mereka dan masing-masing cuba menyesuaikan diri dengan hubungan baru mereka.

Kali ini juga, Serena dikatakan sudah berubah dan menghabiskan percutian musim panas di Eropah. Pada masa yang sama, rakan lama Serena, Carter Baizen (Sebastian Stan) muncul dalam hidupnya dan Carter dikatakan punca perubahan diri Serena.


SELAIN lakonan dan plot yang mantap, penampilan yang hebat dan penuh bergaya dengan fesyen terkini menjadi faktor Gossip Girl menyerlah di hati dan perasaan penonton.


Lain pula bagi Jenny Humphrey, yang dilakonkan oleh Taylor Momsen, hidupnya menjadi kucar-kacir apabila bapanya Rufus Humphrey (Matthew Settle) telah bertunang dengan Lily Van Der Woodsen-Bass (Kelly Rutherford).

Nate Archibald (Chace Crawford) akhirnya berjaya menemui teman wanita yang mempunyai taraf hidup yang sama sepertinya, Bree Buckley (JoAnna Garcia). Bagaimanapun hubungan mereka ditentang keras oleh keluarga masing-masing.

Menurut Chase, wataknya sebagai Nate agak mencabar memandangkan dia perlu mengadakan hubungan asmara untuk beberapa kali sebelum kembali dengan cinta sejatinya, Bree.

"Orang luar mungkin menganggap ia adalah babak menyeronokkan bila dapat bercinta dengan pelbagai wanita tetapi ia agak sukar kerana saya perlu mendapatkan mood yang berbeza bagi setiap wanita yang saya bercinta," katanya.

Siri Gossip Girl yang penuh konspirasi dan gosip panas kini sedang hangat disiarkan setiap Isnin, pukul 10.30 malam di saluran 8TV.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: