BUKAN senang pada waktu sekarang bagi sesebuah filem untuk meraih syarikat gergasi sebagai penaja utama. Kualiti dan kelainan yang ditampilkan oleh filem Magika bagaimanapun telah mendorong Celcom Axiata Berhad menjalinkan kerjasama dengan KRU Studios dalam menjalankan promosi filem muzikal pertama terbitan produksi tempatan itu.
Magika yang merupakan sebuah filem karya pertama arahan Edry Abdul Halim mengisahkan tentang dua adik-beradik, Ayu (lakonan Diana Danielle) dan Malik (Fimie Don) yang tersesat ke dalam alam ghaib dikenali sebagai Magika setelah kematian ibunya.
Menurut Presiden KRU Studios, Norman Abdul Halim, sokongan daripada sektor korporat seperti Celcom bagi menaja filem-filem tempatan haruslah dipuji serta digalakkan lagi agar dapat memartabatkan industri perfileman tempatan.
"Pihak kami amat berharap pihak kerajaaan akan memberikan lebih banyak insentif cukai serta galakan lain bagi memperbanyakkan lagi penyertaan sektor swata menaja filem-filem tempatan.
"Magika bukan sekadar menampilkan barisan pelakon hebat, malah elemen muzik filem ini juga begitu.
"Antara lagu yang dimuatkan dalam filem ini seperti Penyembuh Rindu nyanyian duet Mawi dan Diana Danielle, Gebang (Maya Karin), Baik Kau Pulang Segera (kolaborasi Aznil Nawawi, Dinan Danielle dan Raja Azura)," katanya pada majlis sidang akhbar pengumuman kerjasama KRU Studios dan Celcom di Taman Kebudayaan 1 Malaysia, Menara Kuala Lumpur baru baru ini.
|
|
Naib Presiden Kanan Pemasaran Celcom Axiata, Zalman Aefendy Zainal Abidin pula berkata, dengan penglibatan prabayar Celcom Blue kali ini, pihaknya berasa amat gembira kerana diberi peluang untuk berkerjasama sekali lagi dengan KRU Studios.
Menurutnya, Celcom Axiata sentiasa memberi sokongan untuk memenuhi kehendak para pelanggan melalui penajaan hiburan tempatan.
"Kami percaya filem Magika akan memberikan satu peluang baik untuk usaha tersebut. Sebagai penaja utama, prabayar Celcom Blue menawarkan promosi ekslusif untuk para pelanggan.
"Para pelanggan boleh menikmati dua tiket wayang dan satu muat turun Magika secara percuma apabila menambah nilai RM20 dan menghantar Magika ke 28881.
"Bukan itu sahaja, para pelanggan prabayar Celcom Blue juga akan mendapat hadiah 100 pesanan khidmat ringkas (SMS) secara percuma apabila menonton Magika di panggung wayang," ujarnya.
Sementara itu, lagu-lagu yang dimuatkan dalam cakera padat Magika Original Sountrack kini boleh dibeli dengan harga RM 19.90 secara online melalui laman sesawang www.krustudios.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: