MASIH terbayang wajah naifnya ketika kali pertama menjayakan sesi fotografi di Balai Berita. Waktu itu dia muncul dengan gaya sederhana.
Namun, pada sesi fotografi khas bersama Rap yang diadakan baru-baru ini penyanyi melonjak dengan lagu Mungkinkah ciptaan Adnan Abu Hasaan ini membuat kejutan sehingga jurugambar memaklumkan pasti pening kepala untuk membuat pilihan kerana terlalu banyak gambar menarik dan cantik.
Usai fotografi, Sheila atau nama sebenar, Norsheila Abdullah sempat ditanya mengenai perubahan imejnya yang dilihat semakin seksi atau istilah lebih tepat, makin berani.
Apakah dia sedia untuk menerima kritikan masyarakat?
"Sedia untuk apa saja. Perubahan imej yang saya dilakukan ini demi untuk kepuasan semata-mata selain alasan mahu menjadi diri sendiri. Ini membuatkan saya lebih yakin."Bukan maksudnya saya seorang yang seksi di luar, tetapi saya punya keinginan sama seperti remaja lain yang gemar berfesyen.
"Imej yang saya gayakan hari ini adalah imej yang saya tetapkan sebagai kelahiran baru Sheila Abdul. Ia juga bersesuaian dengan konsep single terbaru saya, Pengkhianat Cinta yang berunsur alternatif pop," katanya.Tidak mahu ketinggalan dengan trend pemasaran muzik masa kini, Sheila juga mengambil langkah sama sebagaimana kebanyakan penyanyi lain yang mempertaruhkan single.
Apa yang menarik, Pengkhianat Cinta adalah lagu hasil ciptaan Sheila sendiri.
Memandangkan dirinya tidak mempunyai kebolehan bermain muzik, dia menggunakan teknik 'humming' kemudian merakamkan melodi yang terlintas dalam MP3nya.
Sheila mengakui sememangnya sebagai penyanyi baru adalah penting menyandarkan lagu ciptaan komposer terkenal bagi melonjakkan namanya.
"Ramai komposer tempatan yang saya kagumi, malah memasang impian untuk bekerjasama dengan mereka. Namun, akhirnya saya memutuskan untuk menghasilkan single sendiri selepas melalui pengalaman menyedihkan sewaktu bertemu dengan komposer terkenal ini.
"Tidak perlulah saya sebutkan namannya, tetapi sewaktu ingin membeli lagu daripadanya dia memberikan pelbagai alasan yang bertujuan menjatuhkan semangat.
"Pendek kata, dia kata saya nampak tak ada 'style' dan suara tiada dinamik. Kalau saya mahu beli lagunya dengan harga RM2,000 memanglah patut saya dilayan seperti itu. Kata-katanya membuatkan saya terduduk.
"Namun, bila difikirkan semula, saya tidak perlu mengalah bahkan semua itu hanya menjadi pembakar semangat buat saya untuk membuktikan tanggapannya terhadap saya salah sama sekali.
"Berbekalkan keazaman yang tinggi, saya belajar menghasilkan lagu sendiri. Maka lahirlah Pengkhianat Cinta. Kos pembikinan lagu ini ditanggung sepenuhnya keluarga saya kerana mereka nampak kesungguhan saya untuk mencipta nama dalam bidang ini," katanya.
Berasal dari Johor Bahru, penyanyi yang pernah dikatakan klon Misha Omar ini dulunya pernah bernaung di bawah syarikat SRD Villa Record milik komposer Adnan Abu Hassan.
Kemudian disunting pula EMI Malaysia. Bagaimanapun selepas syarikat rakaman EMI ditutup, Sheila bagaikan hilang arah tujuan dan tempat berteduh.
Hampir setahun terumbang-ambing, seorang bekas kakitangan EMI memperkenalkannya dengan Dream Music Records, milik Datuk Mohd Fauzi Zakaria dan akhirnya diikat sebagai artis rakaman mereka.
Apabila ditanya tarikan Sheila hingga disunting sebagai artis rakaman, Mohd Fauzi hanya tersenyum sambil memberikan reaksi yang penuh tanda-tanya.
Apapun, penuntut jurusan Diploma Pengurusan Acara di sebuah kolej swasta ini berhasrat melanjutkan pengajiannya di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang baru-baru ini memperkenalkan jurusan komunikasi, khas untuk golongan artis yang berminat melanjutkan pengajian.
"Saya harap diterima universiti berkenaan kerana saya tertarik dengan kursus yang disediakan selain jadual kelasnya seminggu cuma satu atau dua hari saja perlu ke kelas selain tiada kelas pada hujung minggu.
"Lazimnya, Sabtu dan Ahad golongan artis tempatan khususnya penyanyi sibuk memenuhi undangan persembahan. Di kolej yang saya belajar sekarang ini bukannya tidak bagus cuma jadual pengajian terlalu ketat sehingga karier nyanyian saya juga terbatas.
"Saya perlu bekerja bukan saja untuk menampung pengajian, tetapi juga keluarga," katanya.
PROFIL
NAMA: Nursheila Abdullah
NAMA PENTAS: Sheila Abdull
TARIKH LAHIR: 13 Ogos 1988
TEMPAT LAHIR: Johor Bahru
UMUR: 22 tahun
ZODIAK: Leo
HOBI: Menyanyi dan membeli-belah
KERJAYA: Penyanyi dan pelajar
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: