INNAI, butik fesyen wanita popular di negara ini, tampil memperkenalkan dua label terbaru di bawah pengurusannya iaitu Nuur Innai dan Baharim.
Pengarah Urusannya, Izrin Ismail, berkata untuk merealisasikan hasrat berkenaan, pihaknya melantik pereka terkenal, Syaiful Baharim sebagai pengarah kreatif yang bertanggung jawab terhadap semua label berkenaan.
Menurut Izrin, fokusnya adalah untuk mengembangkan lagi jenama fesyen itu supaya ia sesuai dengan cita rasa fesyen masyarakat yang berbilang bangsa.
Pada pertunjukan yang diadakan secara besar-besaran di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, pelbagai rekaan menarik diperagakan. Ia dimulakan dengan koleksi terkini daripada Nuur Innai yang menampilkan busana sopan khusus untuk Muslimah moden. Rekaan koleksi pakaian Muslimah label berkenaan jelas berbeza dengan jenama sepertinya kerana ia lebih ringkas dan tampak jauh lebih elegan dengan padanan seluar longgar.
Gaya yang ditonjolkan memang sesuai dengan konsep yang mahu ditonjolkan dan Izrin menamakan koleksi kali ini sebagai Nomad Princess, hasil inspirasi dari negara Timur Tengah.
"Koleksi berkenaan sesuai untuk wanita Muslimah yang mahu tampil bergaya tanpa perlu mendedahkan aurat atau terlalu menampakkan bentuk badan yang ketara.
"Rekaannya yang sopan memang tampak elegan dengan penggunaan rona menarik seperti kelabu dan perang tanah," katanya.
Untuk koleksi Innai sendiri, himpunan rekaan menarik yang lebih santai ditampilkan dan bagi menyerlahkan lagi penampilan, ia hadir dalam kombinasi rona terang yang bertenaga.
Tidak jauh beza daripada koleksi sebelum ini, himpunan terbaru label itu menampilkan rekaan yang sesuai digayakan ketika bersantai dan melancong ke pusat peranginan di tepi pantai.
Penggunaan rona lembut seperti biru laut dan putih pasir yang menjadi latar koleksi turut menyerlahkan lagi rekaan berkenaan.Turut tidak menghampakan, rekaan adi busana terkini jenama Baharim yang dilihat menonjolkan elemen baru, luar daripada kebiasaan pereka itu.
Menurut Syaiful, dia beralih kepada rekaan sebegitu untuk mengembangkan lagi bakatnya dan bukan hanya khusus kepada rekaan baju pengantin saja. "Sebagai pengenalan, saya menampilkan koleksi anggun dengan menggunakan warna-warna 'nude' seperti beige ungu supaya seiring dengan perkembangan fesyen semasa.
"Rona berkenaan bukan saja semakin diminati, malah ia juga sesuai digayakan untuk majlis yang dirai sepanjang tahun," katanya.
Sementara itu, Syaiful mengakui dia berasa amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan jenama berkenaan yang dilihatnya dapat membantu meningkatkan kreativitinya."Bila pihak datang berbincang mengenai tawaran berkenaan, saya sukar untuk menolak kerana ia satu peluang yang sangat baik.
"Saya tidak teragak-agak untuk bersama dengan mereka kerana tahu dengan cara ini, saya berpeluang mengasah lagi bakat dalam dunia fesyen," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: