Thursday, July 15, 2010

Kerja korek pasir haram di Hulu Selangor


KHIR menunjukkan Sungai Selangor yang telah berubah alirannya dipercayai akibat kerja mengorek pasir di Kampung Chuang, Rasa, Hulu Selangor semalam.


HULU SELANGOR - Satu lagi kegiatan melombong pasir yang dipercayai beroperasi secara haram di atas tanah milik kerajaan negeri Selangor didedahkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo semalam.

Kali ini aktiviti mengorek pasir dijalankan di sebuah kawasan seluas kira-kira lapan hektar di tepi Sungai Selangor berhampiran Kampung Chuang, Rasa yang didakwa beroperasi sejak tiga bulan lalu.

Tinjauan Khir bersama pemberita ke tapak itu selama satu jam bagaimanapun mendapati tiada kerja-kerja melombong dijalankan tetapi jentera-jentera mengorek masih berada di situ.

Khir mendakwa, aktiviti melombong pasir itu telah dihentikan sejak tiga hari lalu atas sebab-sebab tertentu dan dianggarkan satu juta tan metrik pasir bernilai kira-kira RM22 juta sudah dikeluarkan.

"Mengapa jentera melombong tidak disita oleh pihak berkuasa dan masih berada di sini? Adakah mereka berhasrat untuk menyambung kerja selepas ini?" katanya.

Beliau juga mendakwa tanah-tanah di situ telah dikorek sedalam 20 meter.

Pada 11 Julai lalu, Khir mendedahkan kegiatan melombong pasir di Selangor yang didakwa semakin tidak terkawal apabila 20 hektar tanah yang terletak kira-kira 50 meter dari taman rekreasi Paya Indah Wetlands, Dengkil diceroboh untuk mendapatkan hasil pasir bernilai kira-kira RM220 juta.

Khir mendakwa, sebanyak satu juta tan metrik pasir dikeluarkan dari lombong tepi Sungai Selangor itu setiap hari.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan negeri menyiasat lombong pasir berkenaan dan mengambil tindakan jika ia dijalankan secara haram.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: