Saturday, July 10, 2010

Kecewa Jadi Penyanyi, Tria Berlakon Drama Muzikal

-

ENTAH di mana silapnya, lagu Tika nyanyian Tria Aziz (gambar) pernah ditolak oleh stesen radio pada tahun 2007.

Sedangkan pada ketika itu lagu berkenaan menjadi popular kerana ia diangkat sebagai lagu tema filem Waris Jari Hantu.

Biarpun begitu, juara program realiti Audition musim pertama ini akur dengan respons tersebut.

Lantas, dia mencari inisiatif lain sekali gus beralih arah daripada cabang nyanyian kepada lakonan teater.

“Pada pendapat saya, industri nyanyian ini bukan untuk saya. Jadi, saya menerima perkara ini dengan hati terbuka sebab apa yang saya lakukan sebelum tidak menjadi.

“Mesti ada sebab kenapa radio tak nak putarkan lagu Tika. Mungkin lagu itu tidak sesuai untuk radio. Ada yang memuji lagu itu sedap tetapi bukan semua orang boleh terima.

Selepas itu, saya terus berhenti daripada menerbitkan lagu dan menerima tawaran berlakon pentas drama muzikal sehingga sekarang,” kata Tria kepada mStar Online.

Antara muzikal yang pernah disertai oleh Tria seperti M! The Opera, Kaki Blue, Adam The Musical dan terbaru Shout! The Mod Musical serta Always In Wonderland.

“Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang lakonan drama muzikal sangat banyak. Selain itu, saya juga ditawarkan sebagai pelakon alih suara untuk beberapa kartun animasi seperti Ninja Boy dan Higglytown Heroes.

“Sekarang ini, fokus saya kepada muzikal. Saya sedang sibuk dengan latihan dua muzikal iaitu pada waktu siang saya terlibat dengan latihan Shout! The Mod Musical dan pada waktu malam pula dengan latihan Always In wonderland,” katanya yang sudah berumah tangga dan mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun.

Tria akui bukan mudah untuk melalui kehidupan sebagai seorang ibu dan suri rumah tangga dengan baik memandangkan jadual waktunya sentiasa padat dengan latihan pada siang dan malam.

“Apabila ada waktu terluang, saya akan cuba sedaya-upaya menghabiskan masa di rumah dan bergelar suri rumah tangga yang mithali.

“Waktu itu saya rasakan sangat gembira kerana dapat bermanja dengan anak dan memasak untuk suami. Saya hanya mengambil keputusan untuk bekerja dan menerima tawaran berlakon apabila sudah betul-betul bosan.

“Walaupun sibuk, saya perlu juga ada masa dua atau tiga bulan untuk berehat,” ceritanya.

Tria atau nama sebenarnya Farazidar Abdul Aziz berkahwin dengan pengarah seni filem Waris Jari Hantu, Kamarul Nizam Abdul Rahman pada tahun 2005.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: