ANTARA kiosk yang diberi kelulusan perniagaan di perhentian bas di Jalan Mahkota, Kuantan.
KUANTAN: “Kami ada lesen dan menjalankan perniagaan secara sah,” kata Aminuddin Ismail, pemilik De Idaman Corner yang mengusahakan kiosk di Hentian Bas Indera Mahkota 14, Taman Mahkota Idaman, di sini.Beliau yang sudah menjalankan kedai makan dan minuman di situ hampir dua bulan lalu, menafikan dakwaan bahawa mereka mengambil kesempatan berniaga di situ tanpa permit.Aminuddin, 56, berkata kiosk De Idaman Corner itu mempunyai permit Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk berniaga dari jam 9.30 pagi hingga 12 tengah malam.
“Kita berniaga selepas memperoleh permit pasar harian dan mingguan MPK sejak bulan lalu dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan sudah meluluskan lesen perniagaan selepas kita membuat permohonan sejak awal tahun ini.
“Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman berkenaan juga membenarkan saya membuka kedai makan di situ sejak Februari lalu,” katanya di sini, semalam.
Beliau mengulas laporan Edisi Timur berhubung dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau menjalankan perniagaan tanpa permit.
Aminuddin berkata, tidak timbul perniagaannya di hentian bas terbabit dijadikan isu kerana ia mendapat kebenaran MPK.
“Sepatutnya, mereka yang tidak berpuas hati dengan perniagaan kami di hentian bas ini menyelidik dulu sebelum membuat andaian negatif,” katanya yang turut mengakui ada pihak yang tidak berpuas hati dengannya kerana berniaga di situ.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MPK, Haslinda Hassan mengakui pihaknya ada mengeluarkan permit kepada pemilik De Idaman Corner serta meluluskan permohonan lesen perniagaan.
“Kita memang memberi galakan dan membenarkan kiosk hentian bas menjalankan perniagaan termasuk kiosk di Indera Mahkota 14,” katanya ketika dihubungi di sini.
Malah, Haslinda berkata, MPK sentiasa berusaha menyediakan peluang perniagaan kepada Bumiputera dengan menyediakan kiosk di hentian bas.
Menerusi cara itu, katanya, ia bukan saja membantu Bumiputera menjana pendapatan malah memberi peluang kepada golongan mereka meluaskan perniagaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: