Friday, July 16, 2010

Kad CO-OP untuk ahli koperasi


ISMAIL SABRI (empat dari kiri) memegang replika kad CO-OP bersama Kamaruzaman (kiri) pada majlis pelancarannya di Petaling Jaya semalam. Turut kelihatan Syed Jalaludin (tiga dari kanan) dan Mangsor (kanan).


PETALING JAYA - Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan kad pelbagai guna koperasi yang dikenali sebagai kad CO-OP semalam.

Kad pintar itu dikeluarkan oleh Bank Rakyat kepada anggota koperasi yang berfungsi sebagai kad ATM, MEPS e-debit, diskaun dan loyalti.

Ismail Sabri berkata, usaha itu akan menggalakkan rakyat, terutama ahli koperasi, menyokong aktiviti koperasi dan seterusnya turut mendapat faedah daripadanya.

Ujarnya, syarikat koperasi kini telah mengeluarkan pelbagai bahan makanan, minuman, keperluan rumah, barang penjagaan kesihatan dan sebagainya.

"Saya amat yakin jika kita terus mengamalkan prinsip koperasi iaitu saling bekerjasama dan saling melengkapi, kita pasti berjaya melaksanakan satu lagi impian untuk melihat koperasi di negara ini duduk di bawah satu bumbung dengan memiliki pasar raya besar," katanya selepas pelancaran kad itu di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim; Pengarah Urusan bank tersebut, Datuk Kamaruzaman Che Mat dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Mangsor Saad .

Kad CO-OP itu menggalakkan ahli koperasi menyokong perniagaan yang dijalankan oleh koperasi dan seterusnya memberi pulangan kepada anggota dalam bentuk dividen.

Pada masa ini terdapat 4.98 juta ahli koperasi dan sebanyak 3,906 koperasi beroperasi di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: