Friday, July 16, 2010

Dapur Koperasi, persembahan artis hangatkan HKN 2010


BEBERAPA petugas berbincang mengenai kerja-kerja menyiapkan pentas utama sempena Hari Koperasi Kebangsaan di Padang MPK 2, Kuantan semalam.


KUANTAN - Sempena sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2010 yang bermula hari ini pelbagai aktiviti hebat telah diatur bagi menarik pengunjung sepanjang tiga hari acara itu berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 2 di sini.

Antaranya ialah forum khas berkaitan perniagaan francais Ar-Rahnu dan Bank Rakyat, klinik konsultansi oleh agensi-agensi kerajaan serta demonstrasi produk koperasi bersama selebriti.

Selain itu, program yang menghiburkan pengunjung turut diadakan seperti jualan makanan Dapur Koperasi, persembahan pentas oleh artis-artis tempatan, senamrobik dan aktiviti interaktif.

Ketua Unit Hal Ehwal Korporat Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Zainal Abdin Ab. Manaf berkata, pada sambutan kali ini, pihaknya memberi tumpuan untuk mempromosikan koperasi dengan cara yang menarik dan mudah didekati orang ramai.

"Pada sambutan yang bermula esok (hari ini), masyarakat boleh datang beramai-ramai ke Padang MPK 2, Kuantan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai semua koperasi yang ada di Malaysia.

"Selain itu, kami di sini dengan hati terbuka bersedia untuk melayan sebarang pertanyaan bagi mendaftar atau menyelesaikan masalah berkaitan koperasi yang mereka sertai," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka merasmikan HKN 2010 buat kali kesembilan di Padang MPK 2 kira-kira pukul 3.30 petang ini.

Dengan tema 'Masyarakat Bersatu Koperasi Maju', dianggarkan seramai 3,000 pemimpin koperasi dari seluruh negara akan berhimpun di bandar ini.

Tambah Zainal Abdin, orang ramai yang sudah mendaftar tetapi ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai produk bermutu yang ditawarkan koperasi juga dialu-alukan untuk hadir bagi mendapatkan penerangan.

Beliau memberitahu, HKN 2010 diadakan bagi mencapai hasrat kerajaan iaitu untuk menyatukan rakyat melalui koperasi.

"Kita bukan sahaja ingin memberi maklumat berguna mengenai koperasi bahkan pengunjung yang hadir boleh merasai kemeriahan dan keseronokan di tapak ekspo," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: