WALAUPUN pernah dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan pengacara Destinasi Bajet terbitan 8TV, Qushairi Razali atau lebih dikenali sebagai Qi, hos rancangan 8TV Quickie, Julie Woon tidak ingin kisah peribadinya lebih menonjol berbanding dengan kerjaya.
Ini kerana anak jati Kuala Lumpur ini sedar dia masih baru bertapak dalam industri hiburan.
Sambil menyifatkan Qi sebagai kawan baiknya, Julie berkata, dia sedar sesiapa yang berjumpa Qi, pastinya akan bertanya di mana Julie dan begitulah sebaliknya.
“Saya tidak ingin orang melihat kami sebagai satu pasangan sejoli tetapi berharap mereka melihat kami sebagai individu yang mengejar impian serta kerjaya yang sama.
“Itu adalah prioriti kami sekarang. Kami berharap dikenali sebagai artis, pelakon dan pengacara daripada dikaitkan mengenai kisah cinta,” kata gadis berbintang Cancer kepada MStar Online.
Julie telah menyambut usia yang ke 26 tahun pada 21 Julai lalu.
Menurut Julie, Qi sangat sibuk dengan kerjanya dan mereka hanya bertemu sebulan sekali. Ia disebabkan Qi selalu mengembara untuk rancangan yang dihoskannya itu.
Mengenai projek terbarunya, Julie akan tampil dalam telefilem Qalbu yang akan disiarkan di RTM 1 pada 16 September ini.
Telefilem yang mengetengahkan konsep 1Malaysia itu membariskan pelakon Melayu, Cina dan India. Julie akan memegang salah satu watak utama dalam cerita berbentuk percintaan itu.
“Dalam cerita itu, adik perempuan saya bercinta dengan teman lelaki kaum India. Saya pula bercinta dengan teman lelaki Melayu lakonan Anding AF.
“Cerita cinta adik saya tidak menjadi kerana ia adalah cinta monyet di zaman persekolahan lagi. Jadi mereka hanya mengekspresikan diri mereka di atas pentas sama seperti pementasan teater muzikal Uda dan Dara.
“Ibu bapa membenarkan perhubungan cinta saya dengan Anding. Dia ialah penjual cakera padat video yang berhutang dengan ah long manakala saya berasal dari keluarga kaya,” katanya.
Mengenai perancangan masa depannya, Julie telah pun menubuhkan syarikat produksi baru iaitu Popcorn Studio Sdn Bhd pada awal tahun ini.
Julie ialah rakan kongsi bersama pengurusnya, Erik Ong manakala Qi ialah pengarah syarikat tersebut.
Syarikat itu membuat semua projek yang membabitkan penerbitan video korporat dan hal-hal berkaitan dengan kandungan televisyen.
Julie melibatkan diri dalam syarikat produksi baru itu kerana minat untuk mendalami bidang produksi dari awal sehingga sesuatu rancangan itu dikeluarkan di televisyen.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: