Friday, July 9, 2010
JLKN sedia longgar syarat
TANAH MERAH - Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) memberi peluang kepada pelatih yang terpilih menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang berjaya melanjutkan pelajaranke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara menanggguhkan penyertaan mereka sebagai pelatih PLKN dan menyertai latihan terbabit setelah tamat belajar.
Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kecil berkata, peluang ini diberikan kepada pelatih berkenaan sehingga mereka berusia 35 tahun.
”Penangguhan ini diberikan agar mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih baik dan dapat melahirkan pelatih yang lebih berilmu dan cerdik serta dapat menjadi mentor kepada golongan pelatih yang lebih muda di kem-kem di mana mereka ditempatkan di seluruh negara.
”Golongan ini diberikan penangguhan sehingga mereka tamat belajar dan sekiranya mula bekerja, mereka masih boleh menyertai PLKN sehinggalah mereka berusia 35 tahun,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan program pameran JLKN di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mahmud Paduka Raja 1, di sini semalam.
Katanya, setakat ini hampir 60 hingga 70 peserta yang menyertai PLKN dalam kumpulan tiga siri ketujuh pada tahun ini adalah graduan dari IPT serta terdiri daripada golongan yang sudah bekerja.
”Majikan telah memberi kelepasan kepada golongan ini untuk mengikuti latihan di dalam program PLKN selama tiga bulan dan saya amat berterima kasih kepada pihak majikan.
”Langkah ini merupakan satu pendekatan yang baru dan berbeza dengan program khidmat negara yang diadakan di luar negara yang mewajibkan setiap belia mereka menyertai program terbabit tanpa pengecualian.
Abdul Hadi berkata, pada tahun ini seramai 14,000 pelatih mengikuti program PLKN siri tiga yang ditempatkan di 83 kem di seluruh Malaysia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: