Friday, July 9, 2010

Geng Ah Guan berkubur


ABDUL RAHIM (kanan) menunjukkan sebahagian barang yang dirampas daripada kumpulan Ah Guan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras semalam.


KUALA LUMPUR - Kebiasaannya wanita warga China sering dikaitkan dengan aktiviti pelacuran namun kali ini lain pula kisah mereka apabila lima wanita republik itu ditahan bersama lapan rakyat tempatan kerana disyaki terlibat dalam kes-kes jenayah samun dan pecah rumah sejak setahun lalu.

Kegiatan wanita dari China itu bersama enam lelaki penjenayah yang bersekongkol dengan dua penyamun wanita warga tempatan terbongkar apabila mereka ditahan dalam tiga operasi di Hulu Klang dekat sini bermula 1 Julai hingga 7 Julai lalu.

Semua 13 suspek itu merupakan kumpulan penjenayah daripada geng Ah Guan. Ah Guan yang berusia 40 tahun dan mempunyai tiga rekod jenayah pecah rumah merupakan ketua kumpulan itu. Dia merupakan lelaki tempatan.

Lima wanita China itu dipercayai tidak terlibat secara langsung dengan kegiatan jenayah kumpulan Ah Guan sebaliknya mereka dipercayai menjadi kekasih kepada anggota lelaki kumpulan itu.

Bagaimanapun, dua lagi wanita tempatan yang ditahan disyaki terbabit secara langsung dalam kegiatan pecah rumah dan samun kumpulan itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Hamzah berkata, penahanan suspek-suspek itu dibuat selepas seorang suspek wanita dikesan menggunakan kad kredit milik seorang mangsa pecah rumah untuk membeli-belah di sebuah pasar raya di ibu negara pada 1 Julai lalu.

"Daripada maklumat kad kredit itu, polis menyerbu satu unit kondominium di Salak Selatan pada hari sama dan menahan seorang wanita tempatan yang merupakan ibu tunggal berusia 27 tahun," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Kad kredit itu adalah milik mangsa pecah rumah yang juga tinggal di sebuah kondominium di Salak Selatan iaitu sama dengan bangunan kediaman suspek wanita itu.

Menurut beliau, penahanan itu membawa kepada serbuan berikutnya di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Baru, Hulu Klang pada 6 Julai lalu dan polis menahan empat warga tempatan termasuk seorang wanita.

Abdul Rahim memberitahu, selepas soal siasat terhadap kelima-lima suspek itu, polis menahan empat lagi lelaki tempatan dan lima wanita China pada 7 Julai di sebuah rumah lain di Kampung Baru.

"Rumah yang didiami sembilan suspek itu turut dijadikan stor menyimpan barang-barang pecah rumah.

"Kita sedang menyiasat peranan wanita warga China itu termasuk kemungkinan mereka menjadi kekasih kepada kaki samun itu," kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: