SAAT melangkah masuk ke dalam butik pengantin Gzam Sireh Mempelai yang terletak di Taman Setia Jaya, Rawang baru-baru ini, kelihatan seorang lelaki sedang asyik melayan kehendak dan pertanyaan pelanggan.
Santun sahaja bicaranya melayan kehendak pasangan tersebut yang mahukan segalanya serba sempurna pada majlis keraian mereka sebagai raja sehari nanti.
"Beginilah lebih kurang rutin saya setiap hari, kebetulan tadi ada majlis yang memerlukan khidmat katering kami, kemudian ada pula pelanggan yang merancang untuk melangsungkan perkahwinan," demikian tutur si pemilik butik, Shahronizam Abdul Rahman, 32.
Bapa kepada lima cahaya mata yang berasal dari Trolak Selatan, Perak ini sudah dua tahun membuka butik pengantin dan baru setahun mengusahakan khidmat katering.
Hanya berbekalkan minat dan dorongan daripada ahli keluarga dan rakan taulan, Shahronizam menguatkan tekad membuka Gzam Sireh Mempelai walaupun hasratnya itu pada asalnya tidak begitu dpersetujui ibunya, Zaidah Abdul Rahman.
Bukan tidak mahu menyokong usaha anaknya, tetapi khuatir impian anaknya itu tidak menjadi memandangkan sebelum itu ada cubaan saudara terdekat mengusahakan perniagaan sedemikian berhadapan dengan masalah.
Kebimbangan ibunya itu langsung tidak melunturkan semangat Shahronizam, malah diangkat sebagai cabaran dan azimat untuk berjaya.
"Sebelum memulakan perniagaan ini, saya bekerja selama 14 tahun di sebuah kilang besi di Batu Caves sebagai penyelia. Gaji pun tidak seberapa.
"Bagi menyara keluarga, pada masa yang sama saya juga buat kerja sambilan dengan mengikut kawan membuat pelamin dan pada ketika itulah saya sedar bahawa kerja-kerja menghias dan menggubah pelamin tidaklah serumit yang disangkakan," kata suami kepada Rozita Abdul Rani, 37, itu.
Kerjanya semakin mudah apabila dia mewarisi kebolehan menjahit daripada ibunya. Boleh dikatakan, setiap yang digubahnya sentiasa menjadi.
Lelaki ini mula bertatih dalam perniagaan butik pengantin berbekalkan tiga pasang baju sahaja berserta modal daripada duit simpanannya. Tanpa membuat pinjaman bank, ternyata langkah pertama itu membuahkan hasil.
|
|
Modal pusingan
Keuntungan sedikit demi sedikit yang diperoleh tidak dijoli membabi buta tetapi digunakan sebaik-baiknya untuk membeli baju, peralatan dan perhiasan bagi menambah koleksi butik.
Jika dulu ketika bekerja di kilang besi pendapatannya termasuk kerja lebih masa adalah sekitar RM3,000 sebulan, kini lebih daripada jumlah tersebut mampu diperoleh dalam masa seminggu.
Shahronizam amat bersyukur dengan rezeki yang dinikmatinya itu berkata: "Bukan senang nak jadi senang, sebaliknya perlu ada usaha keras untuk merealisasikan impian menjadi kenyataan.
"Kejayaan hari ini bukan kejayaan seorang. Tanpa bantuan isteri dan ahli keluarga yang lain sebagai tulang belakang, saya tidak mampu kendalikan butik sendirian," ujarnya yang turut mendapat tempahan dari luar Selangor iaitu Kedah dan Johor.
Walaupun usia butiknya baru dua tahun, dia mampu tersenyum kerana ramai orang kenamaan dan selebriti telah mengenali dan menggunakan khidmatnya. Sungguhpun begitu, dia tetap menawarkan pakej yang berpatutan mengikut bajet pelanggan.
Tambahnya, banyak cabaran dalam perniagaan perlu dihadapinya termasuklah yang meninggalkan pengalaman lucu apabila pernah dikejar anjing pada pukul 3 pagi ketika mengedarkan risalah promosi
"Percaya atau tidak, saya juga pernah mengutip kotak dan tin setiap malam untuk dijual bagi membayar gaji pekerja gara-gara tiada pelanggan selama empat bulan. Duit itulah yang saya gunakan untuk bayar sewa kedai, lori dan pekerja.
"Perasaan hasad dengki yang tinggi daripada golongan tertentu turut terpaksa saya hadapi. Masih ada yang tidak betah melihat orang lain berjaya," katanya yang pernah dirompak tahun lalu sehingga kerugian RM37,000, namun itu semua tidak melunturkan semangatnya untuk meneruskan perniagaan.
Selama dua tahun bergelumang dalam perniagaan butik, anak kedua daripada lima beradik ini berdepan dengan pelbagai kerenah pelanggan.
"Ragam pelanggan memang pelbagai. Pelanggan yang cerewet itu biasalah tetapi ada segelintir pelanggan menipu dan tidak kurang pula yang memburuk-burukkan butik saya.
"Pengalaman yang tidak mungkin luput dalam ingatan saya ketika dimaki hamun pelanggan apabila mahu meminta bayaran," luahnya.
Ada pula segelintir pelanggan buat-buat lupa tidak membayar selepas majlis selesai melibatkan jumlah RM31,000 dalam tempoh masa antara bulan Januari hingga Jun tahun ini.
Hitam putih
Dek kerana serik ditipu, lelaki yang sekadar menamatkan persekolahan di tingkatan tiga ini bertekad melakukan perjanjian hitam putih terhadap setiap pelanggannya bagi memastikan bayaran perkhidmatannya dilunaskan mengikut perjanjian.
Walaupun memegang status 'tauke' butik, Shahronizam tidak duduk diam. Sebagai menambah kemahirannya, dia menimba ilmu fotografi daripada kawan-kawan selain menyibukkan diri membuat tempahan hantaran, gubahan bunga, menjahit manik pada pakaian, malah turut menjadi 'tekong' memasak untuk menyediakan sajian perkhidmatan kateringnya.
"Baik dalam perkara melibatkan hiasan pelamin, gubahan hantaran dan memasak, saya tidak akan lepas 100 peratus pada anak buah, saya akan pantau dan buat sendiri demi menjaga kualiti.
"Dalam pada itu, saya juga menjadi pak andam bagi menguruskan pengantin lelaki sementara isteri saya menyiapkan pengantin perempuan," katanya yang sudah yakin bertindak sebagai jurugambar.
|
|
Selain menyediakan perkhidmatan menyewa persalinan pengantin, dia dan isteri turut sama-sama mereka busana pengantin mengikut kehendak pelanggan dan menjahitnya sendiri di samping membuka kelas solekan kepada remaja yang berminat.
Kini, Shahronizam dan isterinya tidak perlu bimbang untuk meneruskan perniagaan ini pada masa depan kerana anak-anaknya telah menunjukkan minat dalam bidang solekan dan katering
Bagi Shahronizam, dia mahu memastikan butik Gzam Sireh Mempelai terus melakar nama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: