MALAYSIA mempunyai kawasan tanah lembap yang agak luas dengan pengiktirafan antarabangsa sebagai tapak Ramsar. Salah sebuah daripada kawasan tanah lembap seluas 78,000 hektar terletak di Sabah.
Tapak-tapak Ramsar diiktiraf di bawah konvensyen Ramsar iaitu satu perjanjian antarabangsa yang ditandatangani di Ramsar, Iran pada tahun 1971 itu perlu dipulihara dan digunakan secara lestari.
Tapak Ramsar di Sabah meliputi kawasan Hutan Simpan Paya Bakau Trusan Kinabatangan, Hutan Simpan Paya Bakau Kuala Segama-Maruap dan Hutan Rizab Hidupan Liar Kulamba di hilir Kinabatangan-Segama. Ia mewakili 60 peratus daripada hutan bakau yang masih terdapat di Malaysia.
Malaysia mendapat bantuan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dalam melindungi tapak tersebut. Ia merupakan antara usaha di bawah program Konservasi Biodiversiti dan Ekosistem Borneo (BBEC) di Sabah. Program itu berada pada Fasa II.
JICA membantu dengan menawarkan kepakaran teknikal dan nasihat dalam melaksanakan aktiviti pemuliharaan. Bagaimanapun, Ketua Penasihat BBEC II Motohiro Hasegawa memberitahu, beberapa kepincangan perlu diatasi jika tidak usaha pemuliharan tapak yang kaya dengan biodiversiti itu sukar.
"Ancaman utama kepada tapak Ramsar di Sabah berpunca dari ladang-ladang kelapa sawit.
"Tapak Ramsar itu sebahagian besarnya terletak di hilir lembangan sungai, jadi selagi tiada aktiviti pemuliharaan yang baik di hulu lembangan sungai ini, tapak di hilir ini pasti terancam," katanya.
Kawasan hulu di Lembangan Maliau dan Kanyon Imbak merupakan kawasan hutan dara. Bagaimanapun, kilang minyak sawit dan ladang-ladang kelapa sawit mendominasi bahagian tengah.
Sisa buangan industri dan pertanian antara yang tidak dirawat tidak membantu dalam melindungi kawasan tanah lembap.
"Sehubungan itu, kami perlu menjalankan program kesedaran supaya ladang-ladang kelapa sawit ini mengambil kira aspek pemuliharaan dalam operasi mereka," kata beliau.
Kawasan pemuliharaan
Beliau berkata, semua kawasan lembangan sungai kini dianggap sebagai kawasan pemuliharaan, jadi adalah wajar bagi kilang-kilang minyak sawit yang terdapat di bahagian tengah lembangan untuk mengambil kira aspek pemuliharaan dalam operasi mereka.
"Kami merancang untuk menganjurkan bengkel mengenai aspek pemuliharaan dalam industri kelapa sawit pada Julai ini. Kami akan menjemput penggiat industri untuk mendedahkan mereka kepada teknologi terbaru dalam merawat sisa buangan kilang minyak sawit dan teknik-teknik untuk mengurangkan sedimen dan sebagainya," kata Hasegawa.
Mengawal sisa buangan dari kilang-kilang adalah satu cabaran yang sukar, tetapi jika tindakan ini tidak dibendung ia akan mengancam masa depan tapak Ramsar.
"Kami bercadang memperkenalkan persijilan RSPO (Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Lestari) di semua ladang dan kilang dalam tempoh sedekad," katanya.
Satu masalah tipikal dalam pentadbiran hutan dan tugas-tugas pemuliharaan yang dilaksanakan berbilang agensi ialah ketiadaan koordinasi dalam pentadbiran.
Hasegawa berkata, sebahagian daripada masalah ialah ketidakseimbangan kuasa.
"Jika anda mempunyai pihak yang kuat dan lemah, pasti sukar untuk mewujudkan koordinasi dalam pentadbiran," kata beliau yang mempunyai pengalaman selama dua dekad dalam bidang tersebut.
Jadi, apakah yang perlu dilakukan?
"Kita perlu mengkoordinasi usaha-usaha ini dan berusaha ke arah pemuliharaan bersepadu.
"JICA yang bukan sebahagian daripada birokrasi Sabah ataupun Malaysia telah menggunakan pendekatan ini sejak fasa I BBEC pada tahun 2002. Ia membantu menyelaraskan tugas agensi-agensi ke arah tujuan yang sama," kata Hasegawa.
Enakmen Biodiversiti Sabah 2000 telah membantu mewujudkan laluan perundangan untuk menubuhkan badan tunggal bagi menyelia dan menyelaras usaha pemuliharaan biodiversiti di seluruh negeri.
Badan yang diperkatakan itu ialah Majlis Biodiversiti dan sekretariatnya, Pusat Biodiversiti Sabah (SBC).
Sistem pemuliharaan yang digunakan oleh JICA dalam BBEC I dan II di bawah Konvensyen Biodiversiti merupakan pendekatan ekosistem. Ini bermakna mereka melihat alam sekitar secara menyeluruh dan menyesuaikan aspek pengurusan untuk memuliharanya.
"Proses sistematik dan kitarannya akan mengenalpasti masalah alam sekitar berdasarkan data. Kami perkenalkan tindak balas berdasarkan kepada masalah yang wujud, kami melaksanakannya dan kemudian memantau bagaimana ia dapat membantu. Jika ia tidak berhasil, kami akan muncul dengan langkah lain."
Kehadiran JICA di Malaysia berdasarkan permintaan kerajaan Malaysia. Ia berperanan menghulurkan bantuan teknikal kepada Malaysia dengan menghantar profesional Jepun untuk bekerja sepenuh masa bersama rakan-rakan tempatan.
Hasegawa mengingatkan bahawa peranan JICA dalam BBEC II ialah untuk menghulurkan sokongan kepada Enakmen Biodiversiti Sabah dan memudahkan usaha pemuliharaan bersepadu, dan oleh itu penghargaan harus diberikan kepada usaha yang diambil oleh agensi-agensi berkaitan di negeri itu.
JICA merupakan sebuah institut pentadbiran bebas yang melaksanakan projek-projek yang menerima bantuan rasmi kerajaan Jepun.
Ia bertindak sebagai ejen penghubung antara penduduk Jepun dan negara-negara membangun, melanjutkan kerjasama antarabangsa menerusi perkongsian pengetahuan dan pengalaman.
Konvensyen Ramsar merupakan nama tidak rasmi Konvensyen Mengenai Tanah Lembap Penting Antarabangsa Sebagai Habitat Unggas Air. Konvensyen itu merupakan satu perjanjian antarabangsa bagi pemuliharaan dan penggunaan lestari tanah lembap.
Malaysia menjadi ahli kepada konvensyen ini sejak 10 Mac 1995 dan agensi yang bertanggungjawab baginya ialah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Sebanyak lima lagi tapak Ramsar di Malaysia ialah Taman Negara Tanah Lembap Kuching (Sarawak), Pulau Kukup (Johor), Sungai Pulai (Johor), Tanjung Piai (Johor) dan Tasek Bera (Pahang).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: