Sunday, July 11, 2010

Jason Derulo pujaan Lady Gaga


JASON Derulo bakal muncul di Kelab Dragonlfy pada 21 Julai ini pukul 7.30 malam untuk persembahan pertamanya di Malaysia.


NAMA Jason Derulo terus melonjak lantaran single Watcha Say yang terkandung dalam album perdana yang menggunakan namanya sendiri sebagai tajuk itu.

Lagu itu memberi impak besar dalam kehidupan Derulo. Malah, lagu itu telah dimuat turun sebanyak 700,000 kali seminggu selepas dilancarkan di iTunes.

Asalnya, dia hanya lelaki biasa yang dilahirkan dengan nama Desrouleaux. Namun, kerana kesukaran menyebut nama itu, dia mengunakan nama Derulo agar senang diingati.

Dia nekad membawa dirinya sebagai seorang penyanyi, komposer dan penulis lirik. Usia belasan tahunnya dihabiskan dengan mempelajari opera, teater dan balet.

Dia kemudian memasuki Pusat Kesenian Dillar, Fort Lauderdale di Florida, Amerika Syarikat dan merupakan graduan Akademi Muzik dan Drama Amerika di New York.

Derulo membuka cerita perihal single yang memberinya warna cerah dalam perjalanan seninya itu.

"Sewaktu saya ingin menyudahkan lagu itu, abang saya menceritakan kisah kecurangannya yang kemudian berubah menjadi penyesalan. Dia sangat berharap agar diberikan peluang kedua.

"Jadi, saya memberitahunya supaya berdepan dengan kekasihnya dan meminta peluang itu. Saya merasakan kisah itu sangat menarik, jadi saya tulis mengenainya.

"Kini mereka sudah bertunang dan bakal berkahwin. Bagi saya, seni seharusnya menjadi cerminan kepada kehidupan sebenar," ujarnya yang gembira dengan jumlah muat turun lagu tersebut yang mencecah lima juta kali sekarang.

Derulo mendapat inspirasi menulis lirik dengan menghayati kehidupan di sekelilingnya. Namun, pada waktu yang sama dia mengaku bahawa William Shakespeare banyak mempengaruhi jiwanya.

"Saya teringat kata-kata Shakespeare iaitu setiap perkataan mesti diletakkan secara strategik untuk memastikan ia mempunyai maksud yang kuat."

Derulo bakal menjejakkan kaki di Kuala Lumpur pada 21 Julai ini. Pada pukul 7.30 malam, dia bakal muncul dalam acara Jason Derulo Live Showcase di Dragonlfy (dulu dikenali sebagai kelab Orange) dan mendendangkan lagu-lagu daripada album perdananya termasuk Watcha Say, In My Head dan Ridin' Solo.

Mungkin namanya belum gah, namun sejarah seni anak muda asal Florida ini sungguh meyakinkan. Dia pernah bekerjasama dengan nama-nama besar seperti Lil Wayne, Sean Kingston, Pitbull, P. Diddy dan Danity Kane.

Malah, pemuda berusia 20 tahun ini menyifatkan albumnya itu dibikin khusus untuk para pencinta seni.

"Ia merupakan refleksi kepada beberapa pengaruh dalam hidup saya tetapi masih berakarkan genre pop," ujarnya yang menulis lagu bertajuk Crush On You pada usia lapan tahun.


LADY GAGA


Derulo juga bijak meluaskan jajahannya. Menjadi artis pembuka bagi konsert Lady Gaga, Derulo merasakan itu merupakan pengalaman berharga buat dirinya yang masih muda dan mentah.

"Lady Gaga ialah seorang selebriti yang sangat bagus sama ada di atas pentas mahupun di luar persembahannya. Saya sangat terinspirasi melihat pencapaian yang dibuatnya dalam masa setahun.

"Saya juga berharap dapat melakukan perkara serupa. Malah, kata-katanya yang istimewa sentiasa melekat di minda saya.

"Katanya, dia pernah bekerjasama dengan ramai artis tetapi saya merupakan seorang bintang dan istimewa di matanya.

"Kata-kata tersebut sangat bermakna kerana datang daripada mulut Lady Gaga," ujar Derulo bersungguh-sungguh.

Peminat yang mahu menonton persembahan lelaki kegemaran Lady Gaga ini boleh mendapatkan album perdana Derulo sebagai tiket menyaksikan persembahannya di Kuala Lumpur.

Album Derulo boleh didapati di Victoria Music Centre (Sungei Wang, Amcorp Mall, Bangsar), Speedy Video (Pavilion, GE Mall, Mid Valley) dan Movie Magic (1 Utama) atau muat turun lagu In My Head (SMS GetDerulo dan hantar ke 29000).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: