Setelah melalui karier nyanyian selama 25 tahun, Ella boleh tersenyum puas dengan penganjuran Konsert Ella bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di Istana Budaya selama dua hari bermula malam tadi dan akan berakhir malam ini.
Konsert yang mengetengahkan genre muzik rock dan sedikit elemen muzik tradisional pasti membawa kelainan dalam persembahan Ella.
Lebih bermakna lagi Ella merupakan artis wanita kedua selepas Datuk Siti Nurhaliza yang mengadakan konsert solo di Istana Budaya.
Transformasi dan adaptasi ini mengujakan Ella untuk menterjemahkan persembahannya kali ini. Apa tah lagi, Ella pertama kali berduet dengan penyanyi veteran, Datuk Ahmad Jais.
“Ella akan cuba memberikan yang terbaik, selainnya terpulang kepada penonton yang datang untuk menilainya,” kata Ella.
Bagi Ella konsert ini adalah suatu penghargaan kepada peminat yang sentiasa menyokong penglibatannya dalam seni semenjak 1985 sewaktu bersama The Boys.
Pada konsert yang penuh makna itu, Ella akan mempersembahkan 23 lagu sepanjang 2 jam konsert berlangsung sempena Festival Muzik Kuala Lumpur yang dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Ella juga akan mengimbau kenangan para peminatnya terhadap lagu-lagu hit seperti Sepi Sekuntum Mawar Merah, Pengemis Cinta, Sembilu, Permata Pemotong Permata, Layar Impian, Kitalah Bintang, Dua Insan Bercinta, Simbiosis dan Rama-Rama.
Selain genre rock, Ella turut menampilkan genre muzik irama tradisional dengan menampilkan lagu seperti Ulik Mayang, Jauh Di Mata, dan istimewa berduet dengan Datuk Ahmad Jais menerusi lagu Budi Setahun Segunung Intan.
Biarpun dilabel sebagai ratu rock, Ella tetap ingin membawa lagu pelbagai genre kerana menerusi variasi genre muzik akan meletakkan kebolehan seseorang penyanyi itu untuk menghiburkan peminat dari pelbagai kalangan usia.
Selain diiringi 40 pemuzik profesional OSK dan The Love Beggars, persembahan Ella turut dimantapkan dengan petikan gitar dari Joe Wings dan panduan suara bersama Awie menerusi dua buah lagu iaitu Baldu Biru dan sebuah lagu baru Mana Menghilang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: