Thursday, July 8, 2010

Hantar ibu ayah ke Mekah



‘Sejuk Perut Ibu Mengandung’, kata Melayu lama itu mungkin sesuai sekali ditujukan kepada juara Mentor musim keempat, Mohd yang berhasrat menghantar kedua-dua orang tuanya menunaikan umrah hasil wang kemenangannya bergelar juara.

Mohd yang ditemui ketika sidang media sebaik tamat konsert akhir Mentor 4 Ahad lalu mengakui ada berniat menghantar kedua-dua orang tuanya menunaikan umrah jika mendapat tempat pertama.

Walaupun tidak pernah mengharap untuk bergelar juara namun bagi Mohd kemenangannya pada malam itu adalah berkat doa kedua-dua orang tuanya.

“Kemenangan saya pada malam ini adalah rezeki Allah SWT berkat doa kedua-dua orang tua saya. Saya merancang menyerahkan sebahagian wang kemenangan ini kepada orang tua saya agar dapat menunaikan umrah. Bakinya mungkin akan disimpan untuk masa depan,” kata anak bongsu daripada sepuluh beradik ini.

Sementara itu Mohd tidak menyangka akan bergelar juara setelah tidak terpilih sebagai protege Mas Idayu.

Namun bak kata pepatah ‘Tuah Ayam Nampak Di Kaki, Tuah Manusia Siapa Yang Tahu’ kerana siapa sangka tuah dan rezeki Mohd untuk bergelar protege kembali menyinar setelah Ziana sudi memberi peluang kedua kepadanya untuk membuktikan dia juga boleh berjaya.

“Ucapan jutaan terima kasih yang tidak terhingga tentunya saya tujukan buat mentor saya Ziana Zain yang sudi memberi peluang kedua pada saya. Apa yang boleh saya katakan kemenangan saya ini adalah berkata doa kedua-dua orang tua saya dan rezeki daripada Allah yang saya tujukan buat penyokong.

“Saya harap selepas ini peminat seni tanah air sudi menerima dan memberi ruang pada saya bertapak di dalam industri ini,” katanya.

Mohd berkata walaupun Mentor telah berakhir dia amat berharap Ziana akan terus membimbingnya kerana dalam tempah empat bulan masih banyak yang harus dipelajari.

Malah Mohd mengakui, dia merasakan ada perubahan di dalam dirinya setelah berguru dengan penyanyi popular itu dan tahap keyakinan di atas pentasnya semakin tinggi.

“Mohd harap Kak Ziana akan sudi untuk terus memimpin Mohd yang tentunya masih belum memahami selok-belok dunia artis ini. Apa-apa pun Mohd janji tidak akan lupa diri dan menjadi diri Mohd sendiri,” katanya yang berhasrat membawa genre pop rock.



Kelurusan Mohd pikat juri

Jika dilihat rupa paras, Mohd bukanlah boleh diletakkan sebagai jejaka kacak. Perkara ini turut diakui Mohd dan mentornya.

Namun sikap Mohd yang lurus dan ikhlas serta suara yang mantap memikat hati juri profesional, juri awam dan SMS penonton.

“Kalau dari segi wajah, saya sedar saya ini gelap dan tidak kacak mana pun, tetapi mungkin suara saya telah berjaya memikat orang untuk mengundi, malah tidak keterlaluan kalau saya katakan ini adalah rezeki daripada Allah SWT,” kata Mohd yang tidak merasakan nama Mohd itu terlalu ‘kampung’ setelah bergelar penyanyi kelak.

Malah Ziana juga mengakui tidak pernah berjumpa orang yang sangat lurus seperti Mohd dan sangat ikhlas dalam menuntut ilmu.

“Kadang kala saya pelik melihat dia yang tidak putus-putus bertanya tentang lagu dan key sehinggakan saya suruh dia berehat dulu tetapi dia tidak mahu kerana masih mahu belajar,” kata Ziana yang kelihatan terkejut ketika Mohd diumumkan sebagai pemenang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: