Thursday, July 1, 2010

Focus Point mahu tambah cawangan


CHOON LIANG (tengah) bersama Hamzah dan Joseph Soo pada majlis pelancaran prospektuks Focus Point di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Focus Point Holdings Berhad (Focus Point) bercadang untuk menambah 56 cawangan baru pusat penjagaan mata profesional.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Liaw Choon Liang berkata, melaluinya ia akan menjadikan cawangan Focus Point bertambah kepada 200 cawangan di seluruh negara menjelang akhir tahun 2011.

Menurutnya, ia akan melibatkan sebanyak 22 rangkaian milik syarikat itu sendiri dan 34 rangkaian lain menerusi program francais yang memberi penekanan di kawasan trafik pelanggan yang tinggi.

"Antara kawasan berpotensi yang dikaji ialah Sabah," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran prospektus dan penawaran awam permulaan (IPO) berhubung penyenaraian syarikat pada pasaran ACE Bursa Malaysia di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Bukan Pengerusi Eksekutif Focus Point, Datuk Hamzah Mohd. Salleh dan Ketua Kewangan Korporat OSK Investment Bank Berhad, Joseph Soo.

Pada masa ini, kumpulan tersebut mempunyai 144 pusat penjagaan mata profesional di seluruh negara, yang mana 63 daripadanya dimiliki syarikat itu sendiri, 74 secara francais dan enam pusat milik bersama yang menawarkan kira-kira 181 jenama kaca mata preskripsi dan fesyen terkini.

Di samping itu, Focus Point juga menyediakan perkhidmatan penjagaan mata perubatan melalui anak syarikatnya, Excelview Laser Eye Centre yang telah diwujudkan pada tahun 2000.

Focus Point beroperasi di bawah tujuh jenama miliknya iaitu Focus Point, Focus Point Optical City, Opulance, Zania, Eyefont, ExcelView dan Solariz.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: