TUMPAT - Sekali pandang, sebuah premis yang menjual gula secara borong di Pasir Pekan, Wakaf Bharu di sini beroperasi secara sah namun rahsianya terbongkar semalam.
Premis itu bukan sahaja beroperasi tanpa lesen pemborong, malah dikesan menjadi pembekal kepada penyeludup sejak empat tahun lalu.
Kegiatan tersebut terbongkar selepas Pasukan Pemantau Khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan melakukan operasi di premis itu pada pukul 4 petang kelmarin.
Ketua Pasukan Pemantau Khas KPDNKK, Ab. Ghani Harun berkata, premis itu yang beroperasi sejak Mac 2006 dipercayai mendapatkan bekalan daripada syarikat pemborong utama di Kota Bharu dan Pasir Mas.
Menurut beliau, pihaknya merampas sebanyak 3,120 kilogram gula berharga RM5,148 pada operasi itu.
Siasatan awal, katanya, mendapati bekalan gula itu bukan sahaja dijual kepada pelanggan malah dibekalkan kepada penyeludup untuk dijual di negara jiran.
"Kes rampasan gula tersebut merupakan yang pertama selepas pasukan pemantau tersebut beroperasi di Kelantan pada Isnin lalu," katanya di sini semalam.
Pasukan pemantau khas itu ditubuhkan untuk memantau pengedaran gula oleh 243 syarikat pemborong gula di Kelantan dengan melakukan pemeriksaan di beberapa lokasi seperti pasar raya, kedai runcit serta pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.
Ab. Ghani berkata, penyeludup yang mendapatkan bekalan gula di premis itu menggunakan lori sebelum di seludup ke negara jiran.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: