|
|
"DULU saya dengar orang cakap, proses persiapan kahwin memeningkan kepala. Saya tertanya-tanya apakah yang memeningkan itu?
"Fikir saya, beri sahaja tugasan kepada perancang perkahwinan, insya-Allah semuanya akan selesai. Rupa-rupanya memang memeningkan kepala.
"Saya tidak tahu apa yang patut dimulakan dahulu. Sekarang, barang hantaran pun belum dibeli," ujar penyanyi Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 23.
Dia masih merahsiakan tarikh perkahwinannya. Biar semuanya lancar dahulu, ujarnya. Namun, dalam tawa dan bunyi di hujung suaranya dalam talian telefon, dia sedang berbahagia bercampur debaran menunggu tarikh penting tersebut.
Dalam masa yang sama, dia sibuk merencana kembali album terbarunya bersama label FMC. Kembali menjadi artis syarikat rakaman tersebut, Elyana yang mesra dipanggil Nana itu baru sahaja menandatangani lanjutan kontrak bersama label tersebut.
"Sekarang saya kembali sibuk dengan pertunjukan pentas. Baru sahaja mahu masuk studio untuk merakamkan single terbaru yang dihasilkan oleh Aidit Alfian, mentor saya.
"Untuk album terbaru saya nanti, konsep masih sama cuma akan ada lebih kematangan dari aspek muzik dan lirik. Tetapi masih catchy seperti lagu-lagu yang dulu," katanya.
Penyanyi yang aktif berlakon ini turut menyatakan dirinya tidak terlalu memilih watak yang diberikan kepadanya. Namun, dia ada cara untuk memilih produk atau watak yang bakal dilakonkan.
"Saya ikut gerak hati. Kalau gerak hati kata okey, saya terima dan sebaliknya. Saya terima watak yang boleh saya bawa. Walaupun diberikan jumlah wang yang besar untuk watak yang saya rasa tidak boleh bawa, saya tidak akan terima," jujurnya yang pernah muncul dalam filem Gong, Dukun dan drama Dunia Baru serta Renjis.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: