BERNAMA Fasha Sandha barangkali sudah memekakkan telinga dan mengebalkan pemiliknya untuk dinista dengan kata tohmahan. Katalah apa sahaja, dia sudah lali. Semakin banyak kontroversi yang melanda, semakin petah lidahnya berkata-kata.
Barangkali juga, sementara menunggu sesuatu yang lebih besar untuk ditempuh, sesuatu yang mungkin ditunggu-tunggu untuk membuktikan itulah takdir hidupnya, Fasha, 26, buat pertama kalinya mengaku secara terang-terangan bahawa hati dan cintanya sudah dimiliki lelaki bergelar Toh Muda Rizal Ashram Ramli, 40, bukan pemain polo negara, Qabil Ambak, bukan juga lelaki-lelaki yang pernah didekati dan cuba mendekatinya selama ini.
Sebetulnya, pengakuan itu sesuatu yang sudah lama dituntut daripada Fasha, terutama sejak Rizal menceraikan pelakon Nora Danish, dua tahun lalu.
Selama ini, dia tidak berhajat untuk kisah peribadinya yang satu itu didedahkan. Biarpun kemesraan mereka terbukti di mata ramai, jawapan 'sedang mendekati hati budi' sudah terbiasa sangat meluncur di bibir Fasha.
Cuma, baru-baru ini, percintaan antara Fasha bersama duda yang mesra dipanggil Jejai itu memuncak apabila wujud Tiz Zaqyah yang menjadi nama ketiga di antara mereka. Perang siber diletuskan oleh Fasha menuduh Tiz sebagai penggugat cintanya kerana membuat panggilan dan mengajak Jejai keluar ketika embun menitik pada pukul 3 pagi.
Lantas apabila pengakuan bahagia Fasha dibuat pada satu majlis pelancaran drama bersiri, Duyung Aridinata yang turut menampilkan dirinya sebagai pelakon utama, Rabu lalu, perlakuannya mudah membidik pertanyaan.
Mencuri tumpuan dengan satu 'sidang media kecil' yang akhirnya menjadi tajuk muka depan di hampir semua surat khabar harian, 'drama sebabak' Fasha memang berbaloi kerana namanya kembali terpasak ke satu Malaysia. Khalayak tahu, lebih setahun lalu, Fasha berdepan zaman gelap dan lenyap daripada paparan media sebagai hukuman.
Terfikir juga adakah pengakuan itu sengaja dilancarkan sebagai langkah berjaga-jaga atau jaminan 'kesejahteraan' hubungannya dengan Rizal supaya jangan ada sebarang percubaan untuk mendekati Rizal di hati sesiapa sahaja.
"Tidak ada sesuatu yang terjamin dalam dunia ini biarpun sudah berkahwin. Saya gembira kerana hidup saya kembali stabil dan saya kembali sibuk dengan jadual penggambaran.
"Jadi saya fikir, inilah masa yang sesuai untuk saya berkongsi kegembiraan saya dengan semua," itu jawab Fasha yang terdahulu enggan memberi sebarang komen berhubung kemunculan Tiz yang dikatakan punca pengakuan dilafazkan.
Akuinya juga: "Saya mengaku bahawa Jejai adalah kekasih saya bukan berniat untuk memberi amaran, oh! dia kini milik saya, jadi jangan kacau! Bukan begitu, tapi sekarang masa yang paling tepat."
Membuka susur cintanya, Fasha mengenali Rizal sejak tujuh tahun lalu sebelum anak Tan Sri Ramli Ngah Talib itu masih belum mengahwini Nora. Hubungan mereka turun-naik, dalam masa yang sama dilamar ramai lelaki yang ingin menyuntingnya sebagai suri.
"Selepas dia datang menemui saya di Pulau Lang Tengah, Terengganu pada 18 Mei lalu setelah dua bulan kami tidak bertemu. Usahanya jelas menampakkan kesungguhan memiliki hati saya. Selama ini tidak pernah ada lelaki lain yang melakukan sesuatu yang begitu istimewa seumpama itu terhadap saya.
"Ketika itu, secara rasminya saya menerimanya sebagai kekasih," ujar Fasha yang turut diberikan sebentuk cincin berlian tanda kasih oleh Rizal pada pertemuan di pulau berkenaan.
|
|
Memerhatikan cincin yang dinyatakan, rasanya kelibat Fasha bercincin yang sama pernah disaksikan ketika sidang media Spa Qistina, Mac lalu. Apa pun, cincin di jari manis sudah tersarung, Fasha dan Rizal bagaimanapun belum serius untuk berkahwin.
Atas dasar itu juga, penerimaan keluarga kedua-dua belah pihak bukan sesuatu harus diambil peduli. Itu tegas Fasha. Katanya, keluarga bersetuju atau tidak, mereka tetap keluar bersama dan lebih daripada segala-galanya, mereka kini sedang berbahagia.
Katanya lagi: "Saya pernah mengakui hendak berkahwin tetapi tidak jadi juga. Kali ini, saya tidak mahu berbahagi harapan."
Indahnya asmara Fasha. Sambil tersenyum puas mengetepikan keraguan, tambahnya: "Saya pasti ada yang tidak suka dengan pengakuan ini. Jika sebelum ini ada yang menuduh saya sebagai perampas, saya okey sahaja. Saya mengakui atau tidak, orang akan tetap mengata, jadi lebih baik saya mengaku sahaja."
Di hujung pengumuman tergemparnya, Fasha ditanya sama ada Rizal itu cinta sejatinya. Dia mengiakan tetapi berat hati untuk meluahkan, takut dituduh keterlaluan membuka cerita.
"Apa yang boleh saya katakan, dialah cinta kedua saya selepas cinta pertama saya bersama Shahril ketika zaman kolej dahulu terputus sekian lama.
"Sekarang dialah (Jejai) orang paling istimewa dalam hidup saya. Saya harap pengakuan ikhlas saya ini boleh diterima semua pihak, " akhiri Fasha yang menafikan memutik cinta bersama Jejai kerana tertarik dengan kekayaan keluarga lelaki itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: