RATU Rock negara, Ella yang dikatakan bakal membuat persembahan pembukaan untuk konsert Slash Live In Kuala Lumpur 2010 di Surf Beach, Taman Tema Air Sunway Lagoon pada 5 Ogos depan belum lagi memberi sebarang kata putus berhubung perkara tersebut.
Malah, terdapat khabar angin kononnya Ella telah meminta bayaran sebanyak RM30,000 hanya untuk dua buah lagu sebagai syarat untuknya membuat persembahan di konsert itu.
Bagaimanapun, Ella yang ditemui selepas raptai penuh konsert Ella bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan di Istana Budaya baru-baru ini tidak menafikan telah menerima tawaran daripada pihak Slash tetapi tidak dapat memberi sebarang pengesahan tentang ganjaran yang akan diberikan.
"Tentang RM30,000 itu saya tidak boleh komen sebab bukan saya yang buat perjanjian sebaliknya diuruskan oleh syarikat pengurusan. Apa yang saya tahu, saya ada terima pelawaan daripada pihak penganjur tetapi belum ada sebarang surat hitam putih dikeluarkan.
"Itu bermakna semua belum sah lagi, jadi saya tidak boleh cakap apa-apa," ujarnya.
Slash yang juga bekas pemain gitar utama kumpulan Gun's N Roses sebelum ini pernah bekerjasama dengan Ella menerusi lagu Bayangan di dalam album yang berjudul El pada tahun 1998.
Disebabkan itu, Ella dirasakan penyanyi yang benar-benar tepat untuk berada di pentas konsert Slash.
Malah, Ella memberitahu tawaran yang diterima itu adalah satu penghormatan dan bersedia andai perkhabaran itu benar-benar berlaku.
"Sudah pasti saya memang ingin sangat kalau dijemput sebagai artis undangan. Kalau boleh saya nak bawa lagu Bayangan sebab dia sendiri (Slash) yang main gitar untuk lagu itu. Kalau jadi saya akan nyanyi dalam dua lagu sahaja, sebab itu konsert dia bukannya saya," ulas Ella lagi.
Tambah Ella, selepas kerjasamanya dengan Slash untuk lagu Bayangan, mereka memang kerap berhubung tetapi sejak lima tahun kebelakangan ini, hubungan itu terputus dek kesibukan masing-masing.
"Dulu selalu juga bertanya khabar tetapi lima tahun kebelakangan ini saya dan dia tidak lagi berhubungan kerana sibuk. Tetapi saya memang teringin sangat berjumpa dengan dia lagi," kata Ella dalam senyuman.
Konsert Ella hangat!
Berpeluang menonton raptai penuh konsert Ella yang berlangsung pada 1 dan 2 Julai lalu sempena Festival Kuala Lumpur (KL Fest 2010) di Istana Budaya sememangnya cukup menghiburkan.
Auranya sebagai ratu rock Malaysia tidak pernah pudar. Kelincahan Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin di atas pentas persembahan cukup memukau penonton.
Pengalaman selama 25 tahun dalam industri muzik membuatkan raptai konsert tidak ubah seperti konsert sebenar. Sesekali, wanita berusia 44 tahun itu berjenaka, mengusik pemuzik, penonton dan penyanyi undangan iaitu Awie dan Datuk Ahmad Jais yang jelas menerbitkan tawa di wajah penonton.
Membuka tirai dengan lagu rancak Permata Permotong Permata Ella menjelaskan, meskipun konsertnya berlangsung sempena KL Fest 2010, pemilihan lagu untuk konsertnya itu tidak terikat dengan kehendak Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) sebaliknya pihaknya telah diberi ruang secukupnya untuk menentukan barisan lagu yang dipersembahakan.
"Saya tidak terikat dengan mana-mana pihak. Pemilihan lagu dibuat secara persetujuan 50-50 antara pihak saya dan juga JKKN. Jadi tidak timbul isu lagu yang saya nyanyian atas kehendak JKKN bukannya kehendak saya kerana mereka beri kebebasan yang cukup," kata Ella yang mendendangkan 22 buah lagu pada konsert itu.
Disoal tentang penjualan tiket, Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli memberitahu setakat hari raptai, sudah 75 peratus tiket habis dijual.
"Itu satu angka yang cukup bagus terutama di musim Piala Dunia. Menariknya, tiket-tiket yang mahal habis dulu, jadi saya yakin apabila tiba hari konsert ia akan habis sepenuhnya. Rakyat Malaysia memang suka beli tiket pada saat-saat akhir," katanya Norliza yang cukup berpuas hati dengan persembahan Ella.
|
|
Dalam konsert Ella bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan itu, Ella mendendangkan lagu antaranya, Ulik Mayang, Jauh Di Mata, Rama-rama, Bayangan, Sembilu, Nuri, Simbiosis, Puisi Hamba, Layar Impian, Kesal, Kitalah Bintang, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Pengemis Cinta dan Standing In The Eyes Of The World.
Selain itu, Ella turut berduet dengan Datuk Ahmad Jais dengan lagu Budi Setahun Segunung Intan dalam segmen tradisional serta Awie menerusi lagu Baldu Biru dan Dua Insan Bercinta yang turut diiringi petikan gitar daripada Joe Wings. Awie juga mendendangkan lagu Terima Kasih secara solo.
"Saya berterima kasih kepada Istana Budaya dan JKKN kerana memilih saya bagi menjayakan KL Fest 2010 selepas Anuar Zain tahun lepas. Bagi saya konsert ini cukup bermakna selepas sekian lama saya di dalam industri muzik terutama untuk diri saya, keluarga dan peminat setia," ucapnya.
Konsert Ella merupakan pembuka tirai untuk KL Fest 2010 yang diadakan sebulan bermula 1 hingga 31 Julai dengan pelbagai program menarik.
Penganjuran tahun ini merangkumi 114 acara bersama 39 rakan penganjur. Lokasi juga ditambah kepada 47 berbanding 33 tempat tahun lalu. Berada dalam senarai adalah Konsert Gambus (3 hingga 4 Julai), Konsert Alam - Zainal Abidin di Zoo Negara (10 Julai), Konsert Hujan Vs Bunkface di KL Live Hall (10 hingga 11 Julai), Rentak Juara Akhir (17 Julai), Konsert Koir Kebangsaan (18 Julai), Muzikal Nanta Cooking di Plenary Hall, KLCC (23 hingga 24 Julai) dan Konsert Zainal di Menara Kuala Lumpur ( 31 Julai).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: