Saturday, July 10, 2010

Dulu jalanan, kini di pentas


LOOSE JOINT juga bercita-cita mahu menubuhkan sekolah khusus untuk tarian jalanan dan kung fu.


DIBESARKAN oleh ibu dan nenek tanpa kehadiran seorang lelaki bergelar bapa membuatkan Jamel Brown mencari keseronokan di jalanan sambil menonton kanak-kanak di kawasan kejiranan komuniti kulit hitam menari.

Menyaksikan kelompok kanak-kanak mahupun remaja kulit hitam berpeleseran di jalanan bertemankan radio di sisi sambil membuka langkah tari menunjukkan bakat masing-masing adalah sesuatu yang biasa.

Kelompok tersebut semakin ramai apabila budaya hip hop mula bertapak dan digilai sekitar tahun 1970-an yang dikembangkan oleh masyarakat kulit Afro-Amerika.

Budaya hip hop yang berkembang pesat di New York menjadikan Jamel Brown atau terkenal dengan panggilan Loose Joint sebahagian daripada kelompok tersebut seawal usia tujuh tahun.

"Saya mula menari di kawasan kejiranan pada usia yang muda kerana di situ bermulanya fasa awal budaya hip hop.

"Saya menjadi sebahagian daripadanya kerana minat yang tercetus setelah melihat beberapa kumpulan anak muda menari tetapi mula menjadi penari pada tahun 1981 ketika usia 11 tahun dan mula belajar bagaimana melakukan gerak tari popping dan electric boogie," kata lelaki yang berusia 40 tahun itu.

Penglibatan anak sulung daripada tiga beradik yang masih bujang itu dalam hip hop tidak mendapat tentangan daripada ibunya, Marry Brown yang begitu memahami minat dan kemahiran menari anak lelaki tunggalnya itu.

"Ibu sentiasa menyokong saya kerana dia dan seluruh ahli keluarga tahu bahawa saya boleh dan pandai menari.

"Pengalaman menari di jalanan dan membuat persembahan membolehkan saya mendapat duit poket sekitar AS$15 dolar sehari (RM48) bergantung pada bilangan penonton dan berapa lama saya menari," ujarnya yang bergerak secara kumpulan dinamakan Float Committee terdiri daripada sepuluh orang ahli di kalangan rakan baiknya.

Kembangkan bakat

Dari situlah bermula episod perjalanannya sebagai penari selepas berjuang mempamerkan bakat menarinya di jalanan sekali gus membuka laluannya bagi mengembangkan bakat yang ada dalam diri.

Pada usia remaja, Loose Joint mencabar bakatnya dengan menyertai seberapa banyak pertandingan dan memulakan kariernya sebagai seorang penari profesional.

Dia pernah mendapat tempat kedua dalam Big Breakdance Contest, membuat penampilan khas dalam filem Beat Street, ahli kumpulan Fantastic Duo, menjadi penari latar untuk Siri Jelajah Fresh Fest Rap, Chaka Khan, menjadi juri untuk Dance Delight pada tahun 1994 dan 1997 di Jepun, Juste Debout 2007, KOD6 2010 dan Max Party VIII.

Selain itu, Loose Joint pernah bekerjasama dengan beberapa selebriti terkenal dunia seperti Michael Jackson, Mariah Carey, Will Smith, Jay-Z, Jermaine Dupri, Monica, Gangstar Slick Rick dan banyak lagi.

Walaupun sudah menempa nama ketika di bangku sekolah lagi, Loose Joint tidak mengabaikan pelajarannya meneruskan persekolahannya di I. S 70 O'Henry Junior High School di Manhattan.


LOOSE JOINT pernah bergandingan dengan selebriti terkenal dunia, Michael Jackson.


"Di sekolah, saya melibatkan diri dalam tarian kerana itu adalah minat saya. Selain itu, saya menggemari subjek matematik, sains dan lebih menggemari penulisan kreatif.

"Selain menari saya juga aktif dalam sukan dan merupakan pasukan gimnastik sekolah. Di sekolah saya merupakan pelajar yang suka bercakap di dalam kelas sehingga kerap dimarahi guru, namun saya disukai ramai dan popular," ceritanya sambil mengimbau zaman persekolahannya.

Sejak di bangku sekolah, dia tahu bahawa suatu hari nanti dirinya akan menjadi seorang penari profesional kerana bakat yang mengalir dalam tubuhnya itu.

Menari sudah sebati dalam dirinya kerana dia dilahirkan dalam keluarga yang gemar menari. Semua orang dalam keluarganya menari. Menari adalah sebahagian daripada budaya orang kulit hitam, setiap budaya ada tarian rakyatnya yang tersendiri.

Alami kecederaan

"Bagaimana saya belajar menari? Saya belajar melalui parti, muzik R&B, disko, mendengar dan pemerhatian. Seawal usia tiga dan empat tahun, saya mula menari tanpa bimbingan daripada sesiapa pun dan pada masa yang sama saya membuat persembahan di hadapan ahli keluarga," ujar ikon hip hop itu.

Tarian hip hop mempunyai banyak gaya tari seperti krumping, popping, locking, break dancing dan banyak lagi. Menguasai sesuatu gaya kemahiran tarian hip hop mengambil masa mengikut kemampuan seseorang.

Tidak cukup sekadar mempelajari tetapi perlu menguasai sesuatu gerak tari.

"Gaya tari saya lebih kepada popping oleh itu saya selalu berlatih dan menari selalu untuk mahir. Saya mengambil masa setahun untuk mempelajarinya. Menyatukan semua gerak tari dengan sempurna mengambil masa, cepat atau lambat menguasainya bergantung kepada individu.

"Semua penari hip hop perlu belajar asas pergerakan hand wave, body wave, gliding, moon walk movement. Menari memerlukan seseorang penari itu mencipta kelainan tersendiri. Bakat dan minat itu perlu bergerak seiring untuk menjadi penari yang berjaya," katanya yang memberitahu gaya tari wind mill adalah paling sukar untuk dikuasai sehingga mendatangkan kesakitan pada bahunya.

Dia sendiri pernah beberapa kali mengalami kecederaan iaitu terkehel pada lutut dan buku lalinya kerana terlalu taksub dan ghairah melakukan gaya tari yang gila-gila, namun ia tidak mematikan semangatnya untuk terus menari walaupun terpaksa berhenti menari beberapa minggu akibat kecederaan.

Walaupun terlalu meminati bidang tarian hip hop, Loose Joint hampir membuat keputusan gila untuk meninggalkan bidang yang menjadi darah daging dan periuk nasinya sejak sedekad lalu.

"Keghairahan untuk terus menari luntur. Saya terlalu sibuk dengan persembahan sebagai penari iringan sehingga tidak dapat menggunakan kreativiti dan ekspresi diri sebagai seorang penari dengan bebas.

"Jika ditakdirkan saya bukan lagi penari, saya akan jadi guru kung fu. Saya serius dalam seni mempertahankan diri ini dan mula belajar mengenainya sejak umur 15 tahun," ujar.

Di New York, Loose Joint mengajar kung fu sepanjang masa tetapi disebabkan jadualnya yang padat memenuhi jemputan mengajar tarian hip hop di beberapa buah negara seperti Singapura, Malaysia, Taiwan, Brazil dan sebagainya.

Dalam jangka masa lima tahun akan datang, jejaka yang dibesarkan di Brooklyn, New York itu bercita-cita membina sekolah khusus untuk tarian jalanan dan kung fu dengan menyediakan tenaga pengajar yang profesional. Pada masa yang sama mempunyai barisan pakaian jenamanya sendiri iaitu Get Loose.

Apakah penyesalannya sejak berkecimpung dalam bidang tarian hip hop, Loose Joint memberitahu: "Saya tidak mempunyai sebarang penyesalan. Sebagai seorang insan dan manusia, saya adalah saya kerana perkara baik dan tidak baik yang berlaku serta kesilapan yang saya lakukan menjadikan siapa diri saya pada hari ini.

"Segala yang buruk saya lihat secara positif, tiada langsung penyesalan. Saya suka apa yang saya lakukan. Saya dilahirkan untuk menari dan akan lakukannya sehingga saya mati," katanya menutup bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: