Saturday, July 10, 2010

Drama pengemis

KUALA LUMPUR: Seorang pengemis ‘tempang’ memecut lari apabila tembelangnya berlagak seperti orang kurang upaya (OKU) dirakam jurugambar ketika cuba meraih simpati orang ramai berhampiran Jalan Masjid India di sini, baru-baru ini.

LARI...pengemis di tangga stesen monorel melarikan diri selepas  menyedari perbuatannya dirakam.
LARI...pengemis di tangga stesen monorel melarikan diri selepas menyedari perbuatannya dirakam.

BERNIAGA...pengemis cacat penglihatan menjual tisu di Jalan Pudu. MINTA SIMPATI...pengemis kurang siuman di Jalan Chow Kit. TIDUR...kutu rayau tidur di depan sebuah kedai di Jalan Chow Kit. CACAT...pengemis OKU mengemis di kaki lima.


BERNIAGA...pengemis cacat penglihatan menjual tisu di Jalan Pudu.
Lelaki terbabit antara puluhan pengemis yang mencari rezeki dengan berpura-pura cacat dan tidak berupaya melakukan pekerjaan bagi memperoleh wang dengan cara mudah.

Metroplus yang turut melakukan tinjauan sekitar Jalan Chow Kit dan Jalan Pudu, mendapati kebanyakan pengemis berkeliaran sehingga mencacatkan pemandangan di ibu kota.

Melalui pemantauan berdekatan Lorong Haji Taib, seorang pengemis duduk di kaki tangga stesen monorel sambil menunggu orang ramai memberinya wang.

Ketika gambarnya dirakam, pengemis terbabit melarikan diri kerana takut perbuatannya dirakam seolah-olah cuba menipu orang ramai.

Tinjauan mendapati kebanyakan pengemis berpura-pura sakit semata-mata mahu menagih simpati masyarakat menghulurkan wang kepada mereka, tetapi dalam masa sama boleh pula membuka langkah seribu apabila menyedari kehadiran wartawan.Seorang pengemis wanita, tapi berperwatakan seperti lelaki dan mahu dikenali sebagai Jalal, 50, berkata dia terpaksa meminta sedekah disebabkan tidak mempunyai pendapatan tetap demi mendapatkan sesuap nasi.


“Saya tidak mahu menyusahkan adik-beradik saya kerana mereka miskin, jadi jalan penyelesaiannya saya meminta sedekah.“Sehari saya boleh dapat sekurang-kurangnya RM40. Kalau rajin saya boleh dapat lebih banyak. Pernah juga saya pergi mendapatkan bantuan di Baitulmal, tetapi saya dikatakan tidak layak. Jadi, apa lagi boleh saya buat selain mengemis di jalanan,” katanya.


Warga kota, Amin Abdullah, 38, berkata setiap hari dia melihat ramai pengemis dan kutu rayau berkeliaran di kaki lima kedai di beberapa kawasan.

“Keadaan itu menyakitkan mata serta menjatuhkan maruah negara kita. Saya mohon pihak berkuasa tempatan selesaikan masalah ini,” katanya.

Tinjauan di Pudu pula mendapati kutu rayau bagaikan ‘mayat hidup’ di kaki lima yang menjadikan deretan bangunan kedai sebagai rumah mereka.

Ada pengemis cacat dan bisu di jalanan dan ada juga orang kurang siuman di deretan kedai dan yang paling ramai golongan cacat penglihatan menjual tisu di kawasan tumpuan ramai.

Seorang lagi pengunjung yang mahu dikenali sebagai Razak, berkata kebanyakan kutu rayau disisihkan keluarga dan ada di kalangan mereka penagih dadah yang dibuang keluarga.

Katanya, dia sedih setiap kali melihat mereka tidur di deretan bangunan dan mengharapkan belas ehsan orang ramai kerana kebanyakan daripada mereka tidak berpendapatan.

Sementara itu, jurucakap ibu pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata operasi membanteras pengemis selalu dilakukan pihaknya dari semasa ke semasa.

“Ketika operasi, kami menahan mereka dan menempatkan mereka ke tempat pemulihan atau menyerahkan kepada agensi berkaitan. Pengemis warga asing kami serahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut. Pengemis rakyat tempatan pula kami tempatkan di rumah kebajikan di bawah kendalian JKM,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: