Tuesday, July 27, 2010

Dihempap tilam buruk ‘terbang’

GOMBAK: Seorang remaja perempuan tiba-tiba tergolek di atas jalan raya selepas dia yang menunggang motosikal dihempap sebuah tilam buruk yang ‘terbang’ dari sebuah lori di Kilometer 7, Jalan Lingkaran Tengah Dua, MRR2 di sini, kelmarin.

CEDERA...Lili Norhayati yang cedera diberi rawatan oleh anggota JPAM sebelum dihantar ke hospital.
CEDERA...Lili Norhayati yang cedera diberi rawatan oleh anggota JPAM sebelum dihantar ke hospital.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, penunggang malang itu, Lili Norhayati Buchari, 19, yang kebetulan mengekori lori itu terkejut apabila sebuah tilam dan sebatang kayu sepanjang satu meter jatuh dari atas lori berkenaan sebelum menimpanya.

Difahamkan, semuanya bermula apabila sebuah lori membawa muatan pelbagai sampah seperti kayu dan tilam dalam perjalanan dari Selayang ke pusat pelupusan sampah di Kepong.

“Tiba-tiba sebuah tilam terjatuh dan menimpa saya yang kebetulan berada di lorong kiri jalan menyebabkan saya gagal mengawal motosikal lalu terjatuh di atas jalan,” katanya.

Menurutnya, beberapa kereta yang mengekori motosikalnya sempat membrek sebaik menyedari dia terjatuh di atas jalan raya.

“Mujurlah pemandu kereta terbabit sempat mengelak dan memberhentikan kenderaan, jika tidak sudah pasti saya maut digilis,” katanya.Berikutan kejadian itu, Lili Norhayati yang cedera di lengan, bahu, betis dan kaki dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).


Mangsa yang bekerja di sebuah stesen minyak di Ampang, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Buloh, turut mengalami kerugian berikutan motosikalnya rosak teruk selain telefon bimbitnya pecah.Pemandu lori sampah terbabit turut memberhentikan kenderaan sebaik diberitahu orang ramai tilam dibawanya terjatuh hingga menyebabkan seorang penunggang motosikal tercedera.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: