BERMULA dengan berniaga kuih-muih, biskut dan pelbagai barangan hantaran untuk majlis raja sehari, kini segala-galanya bersifat komersial buat Norma Abdullah.
CARI IDEA...berbincang mengenai tempahan bersama pekerjanya.
Apa yang terpenting adalah perniagaan yang berdaya maju apabila dia mengolah sendiri kotak, bakul atau corak pilihan dengan menempahnya di beberapa negara termasuk China, Indonesia, Filipina dan Hong Kong untuk menghasilkan karya gubahan terbaik.
Menariknya, bahagian anjung rumahnya terpaksa diperbesarkan demi menampung ribuan kotak atau bakul bagi memenuhi permintaan pelanggan.
"Ilmu dekorasi pada gubahan kotak bukan lahir secara paksaan sebaliknya tercetus daripada ilusi sehingga akhirnya mampu memenuhi permintaan ramai. Bukan saja kotak atau bakulnya penuh tarikan, tetapi gubahan menarik juga memainkan peranan.
"Untuk menghasilkan sesuatu gubahan, ia memerlukan kepakaran serta kreativiti tersendiri di samping mempelajari teknik bungkusan bagi menzahirkan bentuk menarik," katanya yang mempertaruhkan kualiti barangan terbaik bagi memberi kepuasan kepada pelanggan.
Tidak dinafikan, katanya, kebanyakan gubahan hari ini mampu membuatkan ramai teruja kerana susunan barangan dan cara pembentukan reben dan bunga digabungkan penuh teknikal demi mencari kelainan penuh berseni.
Malah, cara melekatkan plastik untuk menampilkan barangan yang diolah menarik juga ada rahsia tersendiri. Oleh kerana pelanggan hari ini suka memilih biskut atau barangan untuk menjadikan hamper lebih menarik, dia sentiasa memilih biskut yang menepati cita rasa semua.
"Jangan pakai tangkap muat saja biskut atau barangan yang dimasukkan bagi memperindahkan bungkusan. "Ini kerana kebanyakan pelanggan hari ini cerewet dalam soal itu. Antara yang jadi tarikan kini seperti biskut kacang almond, tiramisu, tat, biskut kelapa, popia dan pelbagai kekacang berkualiti.
"Ada segelintir pengusaha hamper memikirkan gubahan menawan tanpa mengambil kira kualiti biskut atau barangan berkenaan. "Jika ingin mengekalkan pelanggan untuk tempoh lama, kaji daripada pelbagai sudut supaya perniagaan hamper yang dijalankan itu mampu bertahan lama," katanya yang menjual kotak secara borong serta turut berhasrat mengadakan kelas khusus untuk pembungkusan hamper tidak lama lagi.
Pernah terpilih di kalangan agensi kerajaan sebagai usahawan hamper terbaik, ibu kepada dua anak ini mengakui pengetahuan mengenai pelanggan amat penting. Tidak hairan jika kebanyakan pelanggannya terdiri daripada syarikat korporat bukan kerana terpikat dengan perincian yang menarik semata-mata, tetapi pertaruhan kualitinya.Memandangkan kebanyakan pelanggan suka menjadikan bekas atau bakul biskut itu sebagai simpanan atau koleksi menarik untuk menyimpan barangan lain, ia turut mendorongnya menghasilkan kelainan dalam setiap rekaan.
"Inspirasi melakar hamper yang menarik pastinya diselitkan bersama aksesori untuk hamper. Antaranya, reben, bunga-bungaan yang digubah untuk dilekatkan pada kotak atau apa saja. "Nilai tambah pada aksesori ini sebenarnya menyumbang kepada aspirasi untuk menjelmakan gubahan menjadi lebih teruja.
"Untuk menghasilkan semua itu, saya menghabiskan ratusan ringgit semata-mata mahu menyempurnakan impian orang ramai yang cintakan gubahan hamper menawan," katanya.
Pertaruhannya terhadap jenis kotak mahupun bakul, barangan daripada kulit, tembikar, raga daripada bahan poly resin dan pelbagai penghasilan itu turut dijual kepada orang ramai atau mereka yang berhasrat membuka perniagaan berasaskan gubahan hamper.Wanita berasal dari Kedah ini juga mengakui ramai yang sudah mencipta kejayaan dalam perniagaan itu sekiranya diurus secara profesional.
Untuk setiap kelas yang diadakan untuk pelanggan yang berminat mempelajari gubahan hamper, beberapa selebriti atau pakar dalam pembuatan biskut atau kek bakal diketengahkan untuk berkongsi kejayaan masing-masing di samping memberi semangat kepada mereka yang baru hendak berjinak di bidang itu.
Baginya, tidak rugi berkongsi strategi untuk memasarkan produk atau menggunakan pendekatan terbaik untuk menjalankan perniagaan hamper kerana ia ada penggemar tersendiri. Untuk sebarang pertanyaan, layari www.giftdelinur.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: