HUJUNG minggu lalu, saya memandu kereta yang boleh dianggap paling popular buat masa kini. Tidak percaya? Sebelum ini, kalau anda membuat carian di Internet, ia berada di tempat kedua selepas lagu Waka Waka (This Time for Africa) yang dinyanyikan oleh penyanyi Latin terkenal, Shakira.
Tidak perlukan penari gelek berpakaian seksi, gelombang populariti yang diciptanya cukup hebat. Sehinggakan pengeluarnya mendakwa model sedan itu berjaya menakluk pasaran-pasaran besar seperti India, China, Eropah dan Australia.
Kini, model yang mengenakan lencana Chevrolet itu akhirnya tiba di Malaysia. Tidak jauh bezanya di benua lain, Chevrolet Cruze mencetus rasa ingin tahu yang begitu tinggi dalam kalangan pengguna di Malaysia.
Komitmen Pavilion Crest
Bagai membenarkan segala khabar angin yang berlegar dalam industri sejak sekian lama, anak syarikat Kumpulan Naza, Pavilion Crest Sdn. Bhd. kini sah diberi hak pengedaran kenderaan Chevrolet. Hanya selepas dua bulan perjanjian pengedaran ditandatangani dengan pihak General Motors Asia Tenggara, Cruze dengan megah mula memasuki pasaran tempatan.
"Kami hanya akan membawa yang terbaik daripada Chevrolet. Cruze adalah produk pertama dan kami pastinya komited untuk bekerjasama rapat dengan GM demi menawarkan pilihan yang lebih luas kepada para pengguna," kata Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin.
Presiden GM Operasi Asia Tenggara, Martin Apnel turut mengakui bahawa satu kajian sedang dilakukan bagi menilai kemungkinan mewujudkan program pemasangan tempatan (CKD) bagi model-model Chevrolet. Di samping membina satu sistem sokongan bersepadu untuk memenuhi permintaan dari negara-negara serantau.
Tindakan Pavilion Crest memulakan kempennya menerusi model Cruze dilihat bijak. Ini kerana nama Chevrolet sudah sejuk berikutan model-model sebelum ini seperti Optra Magnum Sedan, Optra Estate, Optra 5, atau Aveo Notchback (kecuali SUV Captiva) yang diedar oleh DRB Hicom kurang mendapat sambutan.
Justeru, Cruze difikirkan mampu membuatkan orang ramai mula bercakap semula tentang Chevrolet. Apatah lagi jentera itu memperoleh penerimaan positif di pasaran antarabangsa.
|
|
Baiklah. Kali ini, destinasi pandu uji lebih jauh berbanding biasa. Perjalanan lebih 350 kilometer menuju ke Kuala Terengganu itu meliputi lebuh raya dan banyak jalan kampung. Peringkat awal perjalanan agak perlahan kerana terdapat beberapa operasi perangkap laju di lebuh raya Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).
Namun, keadaan berubah sebaik sahaja saya mendapat 'informasi' bahawa operasi itu sudah berakhir. Enjin bersesaran 1.8 liter itu cuba diperah untuk mengetahui sejauh mana kuasanya mampu diekstrak ketika terpaksa melalui jalan-jalan berbukit atau memotong kenderaan lain.
Selepas dicuba beberapa kali, saya boleh katakan enjin yang dikatakan menggunakan blok sama seperti enjin pada model MPV Nabira itu perlu bekerja sedikit keras. Hantaran kuasa ke roda hadapan terasa agak lemah untuk menggerakkan tubuhnya kelihatan solid.
Sebagaimana sedia maklum, enjin yang mampu menjana sehingga 140 hp itu dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan. Walaupun dianggap paling maju dalam segmen yang berharga bawah RM100,000, saya ada isu dengannya.
Bagi saya, gearnya memerlukan sedikit masa untuk ditukar dari gear tinggi ke gear rendah dan sebaliknya. Nisbah gearnya terutama antara gear tiga dan empat juga terasa jauh. Jadi, sebagai pilihan pemandu boleh menukar sendiri kedudukan gear menerusi ciri shiftronic yang ada padanya.
Tipikal bagi sistem suspensi jenis torsion beam (Chevrolet menamakannya sebagai Compound Crank Axle), pemandu akan merasai bahagian belakang Cruze sedikit membuang ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi dan ada pula lubang di sana. Biarpun begitu, olengan tubuh masih boleh dikira minimum bagi memberikan perjalanan yang selesa buat semua penumpangnya.
Lima bintang Euro NCAP
Satu perkara yang anda harus tahu ialah Cruze cemerlang dalam aspek keselamatan. Kerangkanya terbukti apabila diberi penarafan lima bintang dalam penilaian Euro NCAP dan Australia NCAP. Bukan itu sahaja, ia turut dilengkapi dengan dua beg udara SRS. Selain ciri keselamatan aktif seperti brek antikunci (ABS) pada keempat-empat rodanya, Brake Assist (BA), Electronic Brake Force Distribution (EBD), Electronic Stability Control (ESC) dan Traction Control.
Dari aspek astetik luarannya, jentera itu memiliki penampilan yang maskulin menerusi rekaan gril hadapan dan bampar lebar. Imej itu diperkukuh dengan titik graviti yang rendah dan sepasang lampu utama besar.
Agak ramai yang kurang gemar dengan rekaan bahagian belakangnya. Tetapi bagi saya, ia memadai untuk dipadankan bersama pakej keseluruhan Cruze.
Kabin Cruze dimonopoli oleh tona hitam, selain penggunaan material berwarna biru pada sebahagian kecil papan pemuka, panel sisi dan tempat duduknya. Konsol tengahnya nampak sarat dengan butang pendingin hawa dan sistem audio binaan dalam yang boleh menempatkan enam keping cakera padat sekali gus.
Saya suka dengan posisi kedudukannya yang selesa walaupun untuk mereka berketinggian sederhana.
Chevrolet di Malaysia berdepan dengan cabaran paling sukar dalam industri pemotoran. Apa lagi kalau bukan mengembalikan kepercayaan dan keyakinan pelanggan terhadap produknya. Namun begitu, jangan bimbang kerana Chevrolet kini berada di tangan entiti yang mempunyai kesungguhan dan pengalaman luas dalam bidang automotif tempatan.
Lagi pun, adalah tidak adil jika anda membuat penilaian terhadap Cruze hanya selepas membaca komentar di akhbar, majalah atau laman web. Cruze mungkin tidak mengecewakan sekiranya anda sendiri diberi peluang untuk meneroka setiap keistimewaannya.
Terdapat lapan warna menarik untuk dipilih, Cruze ditawarkan pada harga RM98,766 seunit (tanpa insurans).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: