Monday, July 12, 2010

Cannavaro sedih serahkan trofi


IMBAS kembali... Cannavaro menjulang trofi Piala Dunia 2006 selepas Itali menewaskan Perancis menerusi penentuan sepakan penalti.


LONDON - Fabio Cannavaro mengakui satu detik yang penuh emosi untuk melihat Sepanyol atau Belanda merampas gelaran juara dunia daripada Itali.

Begitupun pemain pertahanan dan kapten skuad The Azzurri itu menegaskan, kedua-dua pasukan itu berhak untuk bertemu pada final Piala Dunia 2010.

Empat tahun lalu, kapten Itali itu menjulang trofi Piala Dunia di Jerman selepas mereka menewaskan Perancis menerusi penentuan sepakan penalti.

Namun kali ini di Stadium Soccer City, Afrika Selatan, giliran Iker Casillas atau Gio van Bronckhorst untuk melakukannya buat kali pertama dalam sejarah bola sepak negara masing-masing.

"Aksi final kali ini sungguh emosi kerana kami terpaksa menyerahkan trofi yang kami menangi empat tahun lalu," kata Cannavaro.

"Ia adalah satu final baru antara dua pasukan yang belum pernah memenangi gelaran Piala Dunia. Kedua-dua pasukan menghadapi perlawanan itu dalam situasi terbaik.

"Mereka bermain dengan baik dan berjaya menggembirakan peminat, jadi saya fikir ia final yang sepatutnya dan saya harap ia akan menjadi satu perlawanan bola sepak yang hebat.

Cannavaro berkata, kejayaan mereka merangkul gelaran juara dunia pada tahun 2006 masih segar dalam ingatan.

Meskipun trofi itu bakal menjadi milik pasukan lain, Cannavaro berkata, Itali perlu segera bangkit selepas mempamerkan persembahan yang mengecewakan pada kempen Piala Dunia 2010.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: