KOTA KINABALU: Ken Goodlet tidak pernah menyangka bahawa pengalamannya selama tujuh tahun sebagai naib pengetua di sebuah sekolah di Tawau, akan memberi inspirasi kepada beliau untuk menghasilkan buku mengenai bandar berkenaan.
Sebenarnya, apabila warga Australia itu tiba di Sekolah St Patrick, Tawau, pada mulanya sebagai guru pada 1965 ketika berusia 25 tahun, beliau tertarik dengan kepelbagaian latar belakang etnik pelajarnya, berputik daripada minat beliau terhadap sejarah Asia.
Hari ini, 'Tawau: The Making of a Tropical Community' dilancar secara rasmi oleh Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat Negeri Datuk Dr Yee Moh Chai di sini -- hasil kompilasi kerja-kerja dokumentasi Goodlet terhadap asal usul dan pembangunan Tawau sejak 1857 sehingga 2008.
"Hidup memang penuh dengan perkara di luar jangkaan. Saya, seorang warga Australia yang berada di Tawau selama lapan tahun pada 1960-an dan 1970-an, menulis mengenai sejarah sebuah bandar setelah sekian lama tinggal dan bekerja di sana.
"Masa itu, saya sedang mencari-cari subjek untuk ditulis oleh pelajar saya di Tawau, bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang boleh menarik minat saya dan para pelajar. Lantas, saya terfikir untuk menggalakkan mereka menemubual sanak saudara yang lebih tua dan menulis tentang sejarah keluarga mereka. Namun perancangan saya tidak lebih daripada itu," katanya pada majlis pelancaran itu.
Kisah mengenai Tawau, katanya mula berkembang dengan sendirinya, apabila 300 cerita berjaya digarap hasil temubual ini.
Goodlet mengunjungi dan berbual-bual dengan kaum keluarga sebahagian daripada pelajar berkenaan, dan beliau mengesahkan ketulenan cerita itu sedapat mungkin daripada bahan dokumentari dalam arkib negeri dan di tempat lain.
"Suatu hari, saya menyedari bahawa saya memiliki kisah mengenai Tawau yang unik dan tidak akan berulang dan saya perlu melakukan sesuatu mengenainya, jadi saya pun menulis tesis 80,000 perkataan untuk Sarjana saya pada 1997.
"Saya kemudian terfikir bahawa perkara paling wajar dilakukan ialah menerbitkan tesis berkenaan, yang diusahakan oleh Setiausaha Kerajaan Sabah ketika itu, Datuk K.Y. Mustafa, yang juga bekas pelajar saya, pada 2001. Saya merasakan kisah ini perlu dibaca oleh khalayak yang lebih meluas dengan menjadikannya mesra pengguna dan mengumpul cerita dari 1942 hinggalah ke masa sekarang - dari situlah idea menghasilkan buku ini tercetus," katanya.
Goodlet mengunjungi semula Tawau pada 2001, 2004 dan 2008 untuk penyelidikan dan temubual selanjutnya, ada di antaranya dengan bekas pelajar 40 tahun dahulu.
Buku yang beliau hasilkan itu dapat diperoleh di semua kedai buku sekitar Kota Kinabalu (dan tidak lama lagi di Kuala Lumpur dan Singapura) pada harga RM135 senaskhah.
Pengarah Urusan Opus Publications Datuk C.L. Chan berkata Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan membeli 200 naskhah untuk diedarkan kepada masyarakat setempat dan NGO di Tawau, manakala Hap Seng Consolidated Bhd pula membeli 208 naskhah untuk diagihkan secara percuma kepada setiap sekolah menengah di Sabah.
Goodlet bukanlah pendatang baru dalam penulisan buku sejarah di negaranya.
Pada 2007, beliau memenangi 'Energy Australia National Trust Award' untuk buku karyanya berjudul 'Hazelbrooks and Woodford: A Story of Two Blue Mountains Towns' yang diterbitkan pada 2006.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: