SEMEMANGNYA dia bukan penyanyi pertama merakamkan lagu rakyat mahupun syair Melayu ke album. Ramai penyanyi yang sudah pun berbuat demikian, seperti Aishah yang satu ketika dulu mempopularkan semula lagu Bangau Oh! Bangau menerusi album Aishah III - Asia Sedunia (1992).
Tapi selepas itu usaha untuk merakamkan lagu-lagu rakyat ini tidak ada kesinambungannya. Menyedari usaha seperti ini sedikit sebanyak mampu mengekalkan khazanah lama cukup berharga, penyanyi Art Fazil turut mengambil tindakan serupa. Dia menghimpunkan 10 lagu rakyat serta sebuah lagu baru berjudul Syair Hang Nadim dalam album diberi tajuk Syair Melayu.Lagu yang menjadi pilihan penyanyi kelahiran Singapura itu ialah Air Pasang Pagi, Ikan Kekek, Lagu Tiga Kupang, Nenek Si Bongkok Tiga, Geylang Si Paku Geylang, Lompat Si Katak Lompat, Injit Injit Semut, Rasa Sayang dan Bangau O Bangau.Turut dimuatkan ialah intro muzik berjudul Kampung Pasir Berdengung.
"Sebagai pemuzik, sudah lama saya teringin untuk menghasilkan album koleksi lagu rakyat. Malah saya sedar, ramai penyanyi lain sudah melakukannya. Cuma, saya ingin menerbitkannya secara profesional, dengan memuatkan muzik sentuhan tradisional dan moden.
"Saya tidak mengkategorikan album ini sebagai muzik etnik, sebaliknya muzik dunia. Mungkin atas alasan itu, album ini turut digemari deejay radio di Jepun.
Lagu petikan album ini turut dimainkan di Osaka FM. Syair Melayu juga dipaparkan mereka sebagai Album of the Week," kata Art ketika berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.
Di Jepun, edaran album yang dihasilkan secara kerjasama antara syarikat rakaman Life Record dan Nusantara Worldmusic itu dilakukan oleh Plantation CD.
Sudah setengah tahun dipasarkan di Singapura, album itu mula memasuki kedai muzik negara ini sejak beberapa bulan lalu. Pada Jun tahun ini juga, ia memasuki pasaran Indonesia.
Album ini menggabungkan elemen muzik dunia seperti reggae, blues dan Afrika dengan rentak dikir barat, joget dan inang. Alat muzik tradisional seperti gendang, Sunda, rebana, bedok, jidor, canang gamelan turut kedengaran dalam permainan muzik album berkenaan.
Diterbitkan sendiri oleh penyanyinya, yang turut bertindak sebagai penggubah muzik, Syair Melayu diperkuatkan dengan permainan muzik oleh Zubir Abdullah (akordian) dan Qamar Baba (genderang), manakala Art sendiri memainkan alat muzik seperti gitar akustik, gitar elektrik, mandolin, gitar bes dan harmonika.
Penerbitannya bermula di The Mystics Den, London dengan rakaman selanjutnya dilakukan di Hazelbayu Studio. Adunannya pula dilakukan oleh John Herbert di studio terkenal, Lion Studio, Singapura.
Menurut penyanyi yang pernah muncul bersama kumpulan Rausyanfikir pada 1992, dia melakukan kajian selama kira-kira dua tahun sebelum proses rakaman yang mengambil masa selama setahun dapat dilakukan.
"Tempoh kajian mengambil masa agak lama kerana kita tidak tahu asal sesebuah syair itu. Siapa pula penulisnya? Ia mungkin ditulis di Melaka ataupun Riau? Berikutan sifatnya yang begitu Nusantara, kita sukar mengenalpasti tempat kewujudan asal sesebuah syair berkenaan.
"Saya juga banyak merujuk kepada Perpustakaan Negara di Singapura, untuk mendapatkan naskhah yang yang lebih tepat, serta mengenali latar belakangnya," cerita penyanyi ini yang berharap dapat muncul bersama album susulannya tidak lama lagi.
Sebelum itu, album berkenaan akan muncul dalam bentuk karaoke, sebagai memenuhi permintaan peminat yang ingin sama-sama menyanyikan lagu yang diperturunkan oleh generasi demi generasi sejak zaman-berzaman.
"Melakukan kajian terhadap syair lama untuk album ini membolehkan saya mengetahui maksud mahupun cerita di sebalik kewujudannya. Umpamanya, lagu Nenek Si Bongkok Tiga bercerita mengenai pewarisan saka. Orang Melayu kita banyak berkias apabila berbicara.
"Dulu, kehidupan mereka banyak dipengaruhi pertanian, lalu banyak pertuturan mereka menggunakan bahasa alam semula jadi sebagaimana dapat disaksikan menerusi syair Bangau O Bangau. Padahal mereka bercerita mengenai sistem ekologi.
"Manakala syair paling baru tentunya Lagu Tiga Kupang yang diterjemahkan daripada lagu Sing a Song of Sixpence, yang sebenarnya diambil dari lagu Perancis. Pendek kata, kajian yang dilakukan sebelum album ini dirakam banyak mendedahkan diri saya kepada asal usul syair lama ini. Maklumlah, kita sudah mendengar lagu terbabit sejak kecil dan kini, kita tahu serba sedikit mengenai sejarahnya pula," kata Art.
Info:
- ART FAZIL bermula dengan penulisan lagu dan seni kata untuk penyanyi seperti Ramli Sarip, A Romzie, Ella, Ruhil, Khatijah Ibrahim dan Lefthanded.
- KEMUDIAN bersama dua penulis muda lain, Allahyarham Esham Jamil dan Mohd Khair Mohd Yasin, dia menubuhkan Rausyanfikir. Album kedua kumpulan ini berjaya dijual melebihi 50,000, pada tahun 90-an.
- PENYANYI ini merakamkan album solo Inggeris bersama syarikat Pony Canyon, dengan lagu Sometimes When I Feel Blue mendapat sambutan ramai.
- PADA 1995, Art berhijrah ke London dan di sana, dia berpeluang mengadakan persembahan di beberapa acara termasuk The Rock Garden, Bungies, The 12 Bar Club dan Aint Nothing But The Blues. Dia turut berkesempatan mengadakan persembahan bergerak secara solo di Universiti Kent dan Manchester.
- PADA 1997, lagu ciptaannya berjudul Monsoon Rain (daripada album Accoustic Juju) memenangi Pertandingan Penulisan Lagu Tympanli di Edinburgh Fringe Festival, Scotland.
- PENGHUJUNG Oktober 2000, Art menghasilkan album solo Nur dan menerima tujuh pencalonan pada Anugerah Planet Muzik Mediacorp 2001. Dia memenangi empat daripada tujuh pencalonan berkenaan.
- PADA pertengahan tahun ini, penyanyi ini muncul dalam rancangan RTM berjudul Shana dan Nina sebanyak 13 episod, di mana dia akan memperkenalkan lagu rakyat yang dimuatkan dalam Syair Melayu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: