NAMA Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman sejak kebelakangan ini kembali hangat. Lebih hangat ketika dia masih bersama kumpulan muzik hip hop Teh Tarik Crew sedikit masa dahulu.
Semuanya gara-gara lagu single terbarunya yang berjudul What You Waiting For hasil kolaborasinya bersama pemuzik dan penyanyi terkenal, Colby O' Donis yang kini sedang meningkat naik dalam carta muzik radio serta menjadi siulan ramai.
Ramai pendengar muzik pada awalnya menyangka lagu itu dinyanyikan oleh seorang penyanyi dari Barat kerana muziknya serta liriknya sedikit terbuka berbanding dengan kebanyakan lagu yang dihasilkan di Malaysia.
Kata Nina ketika ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya di Zouk baru-baru ini, dia berbangga kerana ada orang yang menganggap lagu nyanyiannya merupakan lagu penyanyi Barat sedangkan yang menyanyikan lagu tersebut adalah seorang anak Malaysia.
"Ya, lagu saya sedikit berbeza kerana saya ingin memberi elemen yang baru dan segar," katanya.
Disoal mengenai lirik yang berbaur seksual, Nina tidak melatah juga tidak membantah. Terangnya ia hanya sekadar lagu tidak lebih daripada itu.
"Saya akui memang liriknya agak nakal tetapi itu hanya lagu. Terpulang kepada persepsi orang yang mendengarnya. Kalau ada yang berkata itu agak seksual terpulang pada mereka," ujarnya.
Namun, jika ada yang mempersoalkan keperibadian Nina berlandaskan lagu dan muzik video lagu What You Waiting For itu, Nina menolak dakwaan itu sama sekali. Dia masih seorang anak Malaysia yang tahu batas-batas pergaulan.
"Takkan pantas orang menilai saya berdasarkan satu lagu itu sahaja. Lagu itu memang nakaltetapi saya tidak nakal seperti dalam lagu atau muzik video itu. Itu hanya lakonan semata-mata bukanlah menggambarkan diri saya yang sebenarnya.
|
|
"Sesiapa yang mengenali saya secara dekat tahu diri saya macam mana. Saya bukan gadis liar, malah jadual harian saya sibuk dengan bermacam kerja yang saya harus lakukan termasuklah butik yang baru saya buka atas jenama Mizz Nina Collection di KLCC baru-baru ini," jelasnya.
Duet bersama Noh Hujan
Jika mendengar lagu What You Waiting For, vokal Nina diadun bersama efek bunyi, oleh itu suaranya yang sebenar tidak kedengaran. Ada yang mempertikaikan kemampuannya sebagai seorang penyanyi.
Mana tidaknya, kebanyakan orang menganggap kewujudan anak perempuan kepada Tan Sri Azman Hashim iaitu Pengerusi Kumpulan AmBank Berhad itu dalam industri hiburan sekadar penyeri.
Dilahirkan serba-serbi lengkap pastinya, apa sahaja yang ingin dilakukan Nina tiada halangan besar kerana wang ringgit bukanlah masalah utamanya seperti mana kebanyakan penyanyi lain di Malaysia,
Bagaimanapun, menyaksikan persembahan penuh tenaga Nina pada majlis pelancaran albumnya semua tanggapan itu dibuang ke tepi, wanita berusia 30 tahun itu benar-benar berbakat dalam tarian dan juga nyanyian.
Sempat mendengar nyanyian duetnya bersama Noh Hujan dalam lagu berjudul Kurnia dan What You Waiting For bersama Colby O'Donis yang diterbangkan dari Amerika Syarikat khas untuk majlis tersebut cukup meyakinkan Nina mempunyai tempat di hati peminat.
|
|
"Sebenarnya suara efek, Colby yang cadangkan ketika dia mula-mula dengar lagu itu. Bila saya dengar hasilnya sedap juga kerana ia berbeza. Jadi, kami putuskan untuk letak efek dan saya sudah agak akan ada orang mempertikaikan kemampuan vokal saya.
"Saya boleh menyanyi, kalau saya tidak boleh menyanyi saya tidak akan jadi penyanyi. Saya menyanyi kerana minat sejak daripada zaman remaja lagi sehingglah sekarang. Sebelum ini saya pernah buat bermacam kerja seperti pengacara, model dan penyampai radio di Fly FM tetapi minat dalam diri tetap terarah kepada bidang nyanyian, jadi saya teruskan minat itu.
"Syukur, apabila lagu dan album sulung saya keluar, saya menerima maklum balas yang positif daripada peminat. Ramai yang menyukai lagu dalam album saya. Single pertama What You Waiting For merupakan lagu pengenalan saya kepada peminat dan berharap mereka akan terus menyokong saya," ungkapnya lagi.
Tambah Nina, selain Malaysia dia akan mengembangkan sayap seninya ke Singapura dan Amerika Syarikat. Semua rangka promosi untuk albumnya sedang giat dijalankan.
"Itu antara perancangan saya, macam di Jepun lagu single pertama saya itu boleh didapati di iTunes. Kalau semuanya berjalan lancar saya akan ke Jepun juga," luah gadis yang murah dengan senyuman ini lagi.
Selain lagu What You Waiting For, album Nina yang diedarkan oleh Warner Music Malaysia itu mengandungi 14 buah lagu seperti Away With You, Yesterday, Pinda Minda, Kau Tahu, Let Me C U Get It, One, Sometime feat Dandee, Ping Pong, Never Leave You Behind, Love, Kurnia kolaborasi dengan Noh Hujan, Sri Kandi kolaborasi dengan Mawar Berduri dan Hope kolaborasi dengan Planet Asia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: