BIARPUN filem sulung hasil garapannya, Momok The Movie mencatat kutipan kasar sebanyak RM2.5 juta pada tahun lalu, pemilik rumah produksi, Galaksi Seni Sdn. Bhd., Mohamad Jamil Datuk Zulkifli atau M. Jamil bagaimanapun berdepan sedikit kesulitan untuk membikin filem seterusnya, Momok - Jangan Panggil Aku.
Ia berpunca apabila sutradara tersebut dikatakan belum menjelaskan Dana Pembangunan Seni Filem yang dipinjam daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas). Natijahnya, anak pelakon veteran, Datuk Sarimah Ahmad itu tersenarai sebagai individu tidak layak menerima dana perfileman gara-gara hutang terdahulu belum dilangsaikan.
Berasa seperti diri tidak dihakimi secara adil, pengarah berusia 46 tahun itu menolak dakwaan syarikatnya masih berhutang dengan Finas. Bukan bercakap kosong tanpa mengemukakan bukti, M. Jamil memberitahu dia masih menyimpan resit pembayaran.
Malah Jamil menegaskan, agak tidak masuk akal apabila dia tidak mendapat keistimewaan daripada organisasi terkenal di kalangan karyawan seni tanah air ditambah pengedar dilantik, MIG Production Sdn. Bhd. kepunyaan David Teo juga merupakan salah seorang Ahli Lembaga Finas.
"Seingat saya, setiap kali MIG terima bayaran daripada pemilik panggung, mereka terus menjelaskan hutang tertangguh. Setakat ini, kami telah bayar hampir 70 peratus hutang kepada Finas. Tetapi, saya terkejut apabila diberitahu permohonan hendak dapatkan dana buat Momok - Jangan Panggil Aku tidak diluluskan.
"Terus-terang, saya masih berhutang dengan Finas. Cuma, jumlahnya tidak banyak. Baki tertunggak dianggar sekitar RM200,000 hingga RM300,000 awal-awal lagi telah saya beritahu kepada Finas bahawa mereka akan terima bayaran menerusi rebat cukai dan daripada sebuah stesen televisyen.
"Saya difahamkan, syarikat menerima dana Finas diberi jangka masa selama tiga tahun untuk bayar semula pinjaman. Sedangkan, Momok The Movie baru ditayang tahun lalu, sudah buat bayaran seawal mungkin kepada mereka. Ini bermakna hutang Galaksi Seni tidak sampai tempoh disyaratkan," katanya ketika ditemui usai majlis sidang media pelancaran Momok - Jangan Panggil Aku di Kompleks Studio Merdeka, Finas, Hulu Klang baru-baru ini.
Lama beradu nasib di gelanggang seni ditambah memegang status anak kepada primadona filem tersohor suatu masa dahulu, mana mungkin tutur M. Jamil, mahu menipu Finas sekali gus memalukan reputasi baik ibunya.
"Tolong jangan beri pelbagai alasan kurang munasabah. Saya bukan orang baru dalam bidang lakonan, pengarahan dan penerbitan. Justeru, saya berani cabar Finas untuk memfailkan saman atau menghantar surat amaran kepada saya jika Galaksi Seni benar-benar masih berhutang dengan mereka.
"Cuma, yang jadi tanda tanya, apa pula alasan Finas sampai berani hulur bantuan kepada entah mana-mana syarikat produksi sehingga ada antara filem dibikin tidak siap sehingga saat ini," akui M. Jamil dalam nada kesal.
Guna Facebook
Selepas Momok The Movie berhasil menghimpun kutipan membanggakan pada tahun 2009, Galaksi Seni dilihat enggan membuat sekuel. Rumah penerbitan itu sebaliknya ingin hadir dengan naskhah baru - konsep dan jalan cerita jauh berbeza daripada karya pernah direalisasi sebelum ini.
Tanpa mementingkan diri, Galaksi Seni juga meminta pandangan dan komen daripada peminat terlebih dahulu sama ada ingin membikin sekuel atau filem baru. Komunikasi dua hala itu berlaku menerusi laman sosial popular, Facebook (Momok - Jangan Panggil Aku) dibangunkan sejak beberapa bulan lalu.
"Dengan kecanggihan teknologi moden, saya dapati Facebook atau Twitter memainkan banyak peranan selain bertindak sebagai jaringan komuniti. Kerana itu, Galaksi Seni membuka akaun sendiri bagi berinteraksi bersama pengguna secara menyeluruh. Cukup mengejutkan, kami menerima banyak maklum balas daripada orang ramai.
"Berdasar pemerhatian, kami dapati 60 peratus peminat tidak mahu Momok The Movie dijadikan sebagai sekuel. Mereka mengingini sebuah filem berbeza daripada pernah ditonton sebelum ini. Malah, khalayak enggan lihat ada humor dalam filem seterusnya ini. Kalau boleh, ia perlu digarap dengan lebih serius dan cukup menyeramkan.
"Selepas buat pertimbangan, kami nekad ikut kemahuan masyarakat sekali gus bersedia dihentam oleh sesiapa saja termasuk pemerhati filem. Saya percaya, orang ramai yang beri respons di laman-laman maya menjadi individu punya kebarangkalian tinggi tonton filem saya," jelas M.Jamil terus bertahan dengan formula mengambil para pelakon baru dalam naskhah garapannya.
Bercerita tentang pembaharuan filem itu, ujar M. Jamil, ia bakal tampil di layar perak sarat elemen seram menerusi tiga kisah utama- hantu raya, polong dan saka ditambah penghasilan watak-watak baru. Begitupun, plot Momok - Jangan Panggil Aku masih terlihat sama dengan Momok The Movie," terangnya mengenai keunikan filem berkenaan.
Antara pelakon membintangi filem itu ialah Arif S. Shamsudin, M. Jamil, Cassandra Patrick, Zarina Zainuddin, Raffi Khan, Ruminah Sidek, Liyana Farah Suradi, Syed Abdullah @ Uncle Seekers, Anna Halim, Shah Raja Lawak, Nezreen Jefrizal. Myza, Mizy Razuan, Aida Ali, Yang Kassim, Syed Ahmad Zukhairi dan Shahila.
Momok - Jangan Panggil Aku telah memulakan penggambaran di Selangor dan Pahang merangkumi daerah Bentong, Lanchang, Chenor, Temerloh, Kuantan dan Pekan sejak 19 Julai ini sehingga 5 Ogos nanti.
Untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan perjalanan filem dijangka bertandang di pawagam pada 2011, peminat boleh mengunjungi laman web www.momokthemovie.blogspot.com dan www.galaksiseni.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: