Sunday, July 11, 2010

Aziela tak mudah menyerah kalah

DIA pernah mengalami dua kegagalan terbesar dalam hidupnya dan kehidupan dilaluinya ketika itu terlalu perit sehingga pernah terlintas untuk menyerah kalah.

pix_middle


Namun menyedari dia perlu kuat dan tabah demi keluarga, terutama anak, dia bangkit semula daripada kegagalan itu dan cuba menebusnya semula dengan kejayaan.


Berkat kecekalan dan sikap tidak mudah berputus asa akhirnya membuahkan kejayaan apabila dia kini mampu tersenyum melihat syarikat kecantikannya, ZZ Beauty Slim Health semakin melebarkan sayapnya.


Aziela berkata, pembabitannya dalam bidang perniagaan bermula apabila dia membuka sebuah restoran pada 1994.


Pada mulanya perniagaannya berjalan lancar, namun ia mula mengalami beberapa masalah sehingga terpaksa ditutup, sekali gus menyebabkannya menanggung kerugian besar.

Kehidupannya sekali lagi diuji apabila insan yang diharapkan menjadi penyokong dan tempat bergantung menceraikannya dan meninggalkan bersama anaknya di saat dia memerlukan sokongan keluarga.


"Ketika itu saya sangat tertekan dan memerlukan sokongannya kerana dia menjadi nadi saya selama ini tetapi kehilangannya membuatkan semangat saya turut lenyap.


"Saya terpaksa menanggung kerugian bersendirian dan hilang arah tuju, malah hidup saya semakin kucar-kacir," katanya.


Menyedari hidupnya tidak akan berubah jika dia terus bersedih, Aziela tekad mencari jalan untuk membina semula kehidupannya.


Kegagalan dalam bidang perniagaan tidak sedikit pun membuatkannya serik, sebaliknya dia memberanikan diri untuk menceburi bidang perniagaan kecantikan.


Katanya, dia terpaksa menjual kereta peninggalan bekas suaminya sebagai modal untuk membuka gerai menjual barangan kecantikan.


"Dengan modal sebanyak RM15,000, saya hanya mampu menyewa lot gerai yang kecil serta berkongsi dengan kedai lain dengan menjual produk kecantikan pihak lain.

"Saya terpaksa bermula dari bawah dan keadaan ketika itu sungguh sukar, namun saya bertuah kerana mendapat sokongan dan bantuan ahli keluarga," kata anak sulung daripada lima beradik ini.


Apabila melihatkan perniagaannya boleh 'bernafas', Aziela terfikir untuk mengeluarkan produk kecantikannya sendiri.


Demi merealisasikan hasratnya, dia terpaksa menggadai semua barang kemas miliknya bagi mendapatkan wang untuk dijadikan modal mengeluarkan produk kecantikannya.


Dengan modal sebanyak RM30,000, dia hanya mampu mengeluarkan satu produk iaitu scrub muka berasaskan kolagen.


Dia juga terpaksa turun padang untuk menjual produknya dengan bantuan adiknya, Aimiey Marlina Che Nor, 32, yang banyak memberi sokongan dan dorongan kepadanya.


Sememangnya bukan mudah meyakinkan orang untuk mencuba produknya, lebih-lebih lagi ia produk baru yang tidak mempunyai nama kukuh dalam pasaran.


"Saya terpaksa ke hulu dan ke hilir meyakinkan orang ramai dengan melakukan demonstrasi di kaki lima di depan Kompleks Pertama.


"Penerimaan orang pada awalnya memang mengecewakan sehingga pernah membuatkan saya hampir berputus asa," katanya yang berasal dari Kelantan.


Namun apabila mengingatkan pesanan ibunya supaya jangan sesekali menoleh ke belakang, dia bertekad untuk mengharungi segala cabaran.


Berkat kesabaran dan ketabahannya, Aziela kini mampu mengukir senyuman apabila produk kecantikannya berjaya menembusi pasaran.


Bermula dengan hanya satu jenis produk, ZZ Beauty kini mengeluarkan lima jenis produk kecantikan wajah, antaranya 24K Gold Collagen Series dan IZ Advanced Set.


Melihat jenama ZZ Beauty Slim Healthy semakin diterima dan kukuh di pasaran, Aziela melangkah setapak ke depan dengan memperkenalkan program menguruskan badannya.


Katanya, kebanyakan program menguruskan badan di pasaran kini dipelopori syarikat antarabangsa yang mana harga ditawarkan terlalu mahal.


Yang menarik, program menguruskan badannya adalah satu-satu program milik Bumiputera di negara ini.


"Saya ingin memenuhi impian individu yang mengalami masalah berat badan untuk tampil cantik dengan kos yang jauh lebih murah dari tempat lain," katanya.


>PROFIL
NAMA: Aziela Che Nor
UMUR: 40 tahun
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia
JAWATAN: Pengarah Urusan ZZ Beauty Slim Health
ASAL: Pasir Mas, Kelantan
SUAMI: Muzaffar Mustapa
ANAK: Wan Muhammad Izzat Ezany (21); Siti Aisyah Zulaikha Muzaffar (9) dan Siti Camalin Sofea Muzaffar (8)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: