Sunday, July 11, 2010

Bersantai di Koh Samui

TERSENYUM sinis saya dan beberapa rakan sambil berjenaka sesama sendiri ketika melihat persembahan monyet iaitu seekor beruk memanjat dan memetik buah kelapa sebelum merengek dengan pelbagai aksi supaya gambarnya dirakam, dalam kunjungan kami ke Koh Samui, baru-baru ini.

pix_middle


Mungkin ia sesuatu yang luar biasa bagi orang Barat menyebabkan ramai di kalangan mereka merakam gambar bersama beruk itu tetapi bagi kami, tentu saja ia bukan asing kerana beruk memanjat dan memetik kelapa masih boleh dilihat di kampung di negara ini.


Namun, kira-kira 100 langkah langkah dari kawasan persembahan monyet itu, kami hampir 'terkejut beruk' melihat sebuah masjid dan mak cik bertudung yang membuka gerai kecil-kecilan di kawasan berhampiran, dan kami pasti masyarakat itu beragama Islam.


Ketika seorang rakan mahu membeli air, kami terkejut apabila mendapati seorang wanita bercakap dengan suaminya dalam loghat Melayu Pattani yang seiras dengan loghat Kelantan dan keadaan itu menimbulkan minat untuk mendekati mereka.


Menerusi seorang daripada mereka, kami dibawa bertemu dengan Imam Masjid Nurulihsan di Ban Huathanon itu, Hamad Toh Had, 63.

Hamad berkata, masjid itu siap dibina kira-kira 14 tahun lalu dan pihaknya terpaksa menjelajah ke selatan Thailand dan Malaysia untuk mengutip derma bagi mendapatkan modal untuk membeli tanah serta membina rumah ibadat itu.


Dia mengakui keturunannya berasal dari Terengganu manakala sebahagian penduduk kampung itu adalah keturunan Melayu di selatan Thailand, sama ada berasal dari Pattani atau Narathiwat.


"Dari segi sejarah, 10 pasangan suami isteri datang ke kawasan ini dan mereka berpendapat, kalau mahu buat kampung, mesti bina masjid atau surau dulu.


"Ketika itu penduduk bebas meminum arak dan berjudi sebelum hadir sekumpulan pendakwah yang menjelaskan mengenai Islam dan penduduk mula hadir ke surau yang dibina.


"Akhirnya, daripada hanya 20 orang, kampung ini semakin berkembang dan kini kira-kira 700 penduduk di kawasan ini beragama Islam," katanya.


Hamad berkata, kehidupan mereka sederhana tetapi sungguh akrab dalam suasana kampung yang sebahagian besarnya menjadi nelayan atau berniaga secara kecil-kecilan di kawasan rumah.


Biasanya kanak-kanak bersekolah di sekolah biasa sehingga darjah enam sebelum melanjutkan pengajian ke sekolah pondok di selatan Thailand, jika berminat.

Dalam kunjungan singkat itu, tersentuh hati saya melihat kanak-kanak bertudung bermain permainan melompat tali getah dan berbalah sesama sendiri apabila ada yang dirasakan tidak kena.


Ketika kecil, saya pernah bermain permainan seperti itu dan rasanya ia bukan lagi permainan popular di negara ini, sama seperti hampir pupusnya permainan tradisional congkak, batu seremban atau melastik getah.


Sebenarnya, kunjungan saya hujung bulan lalu atas jemputan syarikat penerbangan FlyFirefly Sdn Bhd (Firefly). Dalam usaha mempromosi Firefly serta pakej percutian ditawarkan di Koh Samui, syarikat itu membawa sekumpulan wakil media dan ejen pelancongan ke pulau itu dan kami ditemani Pengurus Pemasaran dan Komunikasinya, Raja Sa'adi Raja Amrin.


Kalau diikutkan, Thailand bukan bumi terlalu asing bagi saya kerana pernah sampai ke wilayah Selatan Thailand seperti Danok, Golok dan Hadyai selain kota Bangkok dan Pattaya.


Saya juga pernah menjelajah ke utara seperti Chiang Mai sebelum menyusur Sungai Mekong untuk sampai ke Chiang Rai dan kemudian berdiri di kawasan sempadan tiga negara iaitu Thailand, Myanmar dan Laos.


Malah saya pernah sampai dan melawat Muzium Opium atau Muzium Anti-Dadah di lokasi berhampiran kawasan segi tiga emas di utara Thailand, yang memaparkan bahaya popi dan heroin serta kesan akibat penagihan dadah.


Namun saya belum pernah sampai ke mana-mana pulau peranginan di Thailand dan jemputan ke Koh atau pulau (dalam bahasa Thailand) Samui itu tidak boleh dilepaskan.


Pagi itu kami menaiki pesawat Firefly ART500 yang mampu memuatkan 72 penumpang dan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dan mengambil masa dua jam untuk sampai ke Lapangan Terbang Samui.


Lapangan Terbang Samui adalah milik persendirian yang mempunyai landasan pendek dan mengendalikan 28 penerbangan sehari, termasuk 19 dari Bangkok, manakala selebihnya penerbangan antarabangsa dari Singapura dan Hong Kong, selain pesawat Firefly yang mendapat hak eksklusif mendarat di situ.


Selepas makan tengah hari di restoran menghadap pantai hidangan Chaba Cabana Beach Resort & Spa, kami dibawa menjelajah pulau seluas 247 kilometer persegi itu.


Antaranya, kuil Patung Buddha Besar yang menjadi mercu tanda bagi Koh Samui memandangkan 80 peratus penduduknya beragama Buddha dan ia memiliki keistimewaan sendiri kerana turut menempatkan tokong Cina dan kuil Hindu di satu kawasan.


Tempat tumpuan lain adalah Batu Datuk dan Nenek, iaitu kejadian alam yang membentuk batu seperti kemaluan lelaki dan wanita, air terjun, perkampungan nelayan dan melihat persembahan monyet.


Kira-kira jam 5 petang, kami mendaftar masuk ke Pavilion Samui Boutique Resort yang menyediakan bilik eksekutif untuk saya dan rakan, termasuk sebuah kolam jakuzzi di halaman bilik.


Selepas makan malam, kami sempat bersiar-siar di Chaweng iaitu pekan bagi Koh Samui. Di situ, pengunjung boleh melihat pelbagai jenis cenderahati, pakaian ke pantai hinggalah kedai jahit untuk menempah sut selain deretan restoran makanan laut, pub serta kelab malam.


Keesokannya kami dibawa melawat Koh Pangan iaitu pulau yang mengambil masa 30 minit perjalanan dengan bot laju dari Koh Samui.


Kami menjadi tetamu kepada Santiya Resort and Spa yang jarang dikunjungi anak Malaysia sebelum ini. Pihak hotel itu bijak memanfaatkan keindahan pantai dan hutan rimba yang masih menghijau untuk dinikmati tetamunya dan pulau itu ketinggalan kira-kira 20 tahun berbanding Koh Samui daripada segi pembangunan.


Selepas makan tengah hari, kami dibawa melawat Pantai Had Rin iaitu lokasi pelancong meraikan pesta bulan mengambang. Pesta itu baru berakhir lima hari sebelum itu tetapi masih ada peniaga menjual baldi kecil mengandungi pelbagai jenis arak untuk pesta itu.


Kami kemudian kembali ke Koh Samui dengan menggunakan bot penumpang dan menghabiskan malam dengan mengunjungi Chaweng sekali lagi untuk membeli cenderahati sebelum berlepas pulang ke Subang keesokannya.


Yang jelas, Koh Samui adalah kawasan untuk bercuti dan bersantai dengan ditemani keindahan pantai serta pasir putih bersih dan tidak hairan ia menjadi lokasi mat salih berjemur.


Bagi mereka yang tidak mahu berjemur di tepi pantai, pakaian paling sesuai adalah kemeja T dengan seluar pendek dan berselipar Jepun memandangkan ia memudahkan pergerakan dan memberi keselesaan dalam cuaca panas, manakala minuman rasmi adalah air kelapa.


Kunjungan tiga hari dua malam itu terlalu singkat kerana masih banyak lagi yang belum sempat diteroka penulis di pulau peranginan itu.


Apapun, kunjungan sekali lagi bukan sesuatu yang mustahil kerana selain menawarkan tambang murah, Firefly akan menyediakan penerbangan setiap hari ke Koh Samu bermula 31 Oktober ini, berbanding hanya empat kali seminggu seperti sekarang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: