Saturday, July 3, 2010

Anak Najib Dikagumi Berucap Dalam Mandarin Di Universiti Beijing

Rosmah bersama para pelajar China dan Malaysia di The Beijing Foreign Studies University semasa lawatannya ke universiti tersebut pada 14 Jun lalu. Beliau menemani anak bongsunya, Norashman (lima dari kanan), yang mengikuti kursus bahasa Cina selama tiga minggu.

BEIJING: Kursus lanjutan selama tiga minggu di Beijing Foreign Studies University (BFSU) membawa hasil kepada Norashman Razak, anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, apabila membuat satu ucapan dalam bahasa Mandarin yang mengagumkan para guru dan rakan pelajarnya.

Selain sebutan yang betul, Norashman juga menggunakan banyak ungkapan dalam ucapannya itu pada satu majlis tamat kursus hari ini. Hadir sama pada majlis itu ibunya Datin Seri Rosmah Mansor.

Dengan diberi gelaran nama Cina, Ji Ping, beliau mendapat pujian daripada Presiden BFSU Prof Chen Yulu, kerana usaha gigihnya semasa mengikuti kursus itu.

Norashman juga menerima sijil dan diiktiraf sebagai alumni universiti berkenaan.

"Walaupun saya hanya berada di sini selama tiga minggu, penguasaan bahasa Mandarin saya meningkat dengan banyak sekali. Bukan saja saya boleh bertutur dalam bahasa Mandarin, saya juga banyak pelajari mengenai budaya Cina dan masyarakat Cina di sini," kata Norashman dalam ucapannya itu.

Beliau berkata bahawa semasa pengajiannya selama tiga tahun di Amerika Syarikat, beliau sekadar berpeluang bertutur bahasa Mandarin semasa dalam kelas dan kurang menggunakannya di luar. "Mandarin merupakan satu bahasa yang perlu ditutur selalu, jika tidak, kita akan lupa menyebut perkataan dengan intonasi yang betul. Intonasi yang tidak betul membawa maksud yang lain pula.

Rosmah Mansor (duduk, kedua dari kiri) dan anaknya, Norashman Razak (duduk, kiri), Presiden Beijing Foreign Studies University, Profesor Chen Yulu (duduk, kedua dari kanan) dan Timbalan Duta Malaysia di Beijing, Lim Juay Jin (duduk, kanan) bergambar dengan para pelajar dan pensyarah universiti selepas majlis kesyukuran untuk Norashman yang berjaya menamatkan kursus bahasa Cina, hari ini.

"Di BFSU, saya mendapat peluang terbaik untuk berlatih bercakap kerana saya mempunyai ramai kawan Cina dan pelajar Malaysia," katanya.

Beliau berkata penguasaan bahasa Mandarin oleh pelajar dari Malaysia di sini amat baik walaupun mereka baru setahun mempelajarinya.

Norashman berkata tempoh tiga minggu itu agak singkat dan beliau berharap dapat kembali ke BFSU untuk mengikuti kursus lanjutan.

Hasrat beliau disokong oleh ibunya yang berkata Najib bersetuju agar Norashman mengikuti kursus selama sebulan di BFSU tahun depan.

"PM cadangkan Norshaman datang balik selama sebulan tahun depan, selain untuk sama-sama menyambut ulang tahun ke-70 BFSU sebagai alumni," kata Rosmah.

Katanya Najib mahu Norashman menguasai bahawa Mandarin supaya beliau (Najib) dapat berkomunikasi lebih baik dengan masyarakat Cina di Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: