Tuesday, July 13, 2010

Anak dirasuk nafsu iblis

KUALA LUMPUR: Luluh hati seorang ibu apabila menyaksikan sendiri kekejaman anak lelakinya berusia awal 20-an merogol teman wanitanya yang berusia 16 tahun di rumah mereka sehingga gadis berkenaan mengandung, baru-baru ini.

Lebih menyedihkan apabila jeritan dan rayuan wanita berusia awal 40-an itu yang cuba menghalang tindakan keji anak lelakinya tidak diendahkan.


Malah, tindakannya mengetuk pintu bilik anaknya berkali-kali langsung tidak dihiraukan seolah-olah anak lelakinya dirasuk hantu.


Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam hujung bulan lalu di sebuah taman perumahan di Setapak Jaya di sini, mangsa yang juga seorang pelajar dikatakan dirogol empat kali dalam bilik berkenaan.


Bagaimanapun, mangsa hanya membuat laporan polis kelmarin selepas lelaki terbabit enggan bertanggungjawab terhadap perbuatannya sehingga dia kini disahkan mengandung.


Menurut sumber, semuanya bermula apabila pelajar terbabit dipelawa ke rumah suspek untuk mengenali ahli keluarganya.


“Mangsa tidak keberatan mengikut suspek ke rumah berkenaan kerana ibu teman lelakinya juga ingin mengenali remaja berkenaan.


“Selepas tiba di rumahnya dan berkenalan dengan ibu suspek, teman lelakinya itu bagaikan dirasuk hantu apabila memaksa remaja terbabit masuk ke biliknya,” katanya.


Sumber itu berkata, keengganan mangsa berbuat demikian menyebabkan berlaku pergaduhan sebelum suspek mengheret tangannya masuk ke bilik dan mengunci pintu.


“Ibu suspek yang menyedari perbuatan itu mengetuk pintu, menjerit sambil merayu kepada anak lelakinya supaya tidak melakukan perbuatan buruk ke atas gadis berkenaan.


“Malah, ibu suspek berusaha membuka tingkap di bahagian belakang bilik berkenaan untuk mengintai perbuatan anaknya,” katanya.Menurut sumber itu, sebaik membuka sedikit tingkap bilik berkenaan, dia terkejut sebaik melihat anaknya bergelut untuk merogol teman wanitanya.


“Ibu suspek berlari semula ke pintu bilik berkenaan dan berulang kali mengetuknya, namun anaknya langsung tidak mengendahkan panggilannya,” katanya.


Sumber itu berkata, suspek merogol remaja berkenaan empat kali sebelum menghantarnya pulang ke rumah.


“Pada mulanya, mangsa tidak membuat laporan polis kerana suspek mendakwa akan bertanggungjawab terhadap perbuatannya itu dengan mengahwininya,” katanya.Bagaimanapun, katanya lelaki terbabit mungkir janji apabila enggan bertanggungjawab atas perbuatannya selepas remaja berkenaan disahkan mengandung.


“Remaja terbabit memaklumkan kejadian itu kepada keluarganya, namun suspek berkeras enggan bertanggungjawab walaupun rundingan secara baik dilakukan keluarga mangsa,” katanya.


Berikutan itu, mangsa bersama ahli keluarganya membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju di sini, kelmarin, untuk siasatan dan tindakan lanjut.


Difahamkan, lelaki terbabit sudah ditahan di rumahnya semalam bagi membantu siasatan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu kes terbabit sudah dirujukkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: