Tuesday, July 27, 2010

Ainul tidak kisah dikritik



Menyimpan minat yang mendalam dalam bidang muzik, mendorong artis remaja, Ainul Aishah, mentransformasikan dirinya bukan setakat dari seorang pelakon kepada penyanyi, malah sebagai komposer dan juga penulis lirik.

Malah demi minatnya itu, Ainul tidak kisah dikritik kerana dia juga mengakui bukan mudah hendak memuaskan hati pendengar. Dan dia juga akur andai ada yang mengatakan suaranya tidak sedap.

“Kalau orang cakap saya tak boleh menyanyi atau suara tak sedap, tidak mengapalah. Saya senyum saja. Saya sudah biasa dengan semua itu. Bagi saya, dari kritikanlah kita boleh memperbaiki diri kita.

"Saya percaya dengan apa yang saya buat. Saya akan teruskan juga kerana ini minat saya dan hanya akan berhenti menyanyi jika ada yang minta,” katanya yang ditemui ketika pelancaran single albumnya di Black Box, Solaris Dutamas baru-baru ini.

Pelakon berjinak-jinak dalam bidang nyanyianbukan satu perkara yang baru. Buktinya, sudah ramai pelakon yang muncul sebagai penyanyi, antaranya Adi Putra, Ery Putra, Nabila Huda, Liyana Jasmay dan Diana Danielle. Dan bertitik tolak dari situlah, Ainul mula memberanikan dirinya untuk mencuba nasib.

Secara jujurnya, gadis hitam manis ini mengaku tidak pernah mengikuti kelas vokal sebagai persediaannya bergelar penyanyi.

Namun sebagai bukti rasa minat terhadap bidang seni suara, telah mendorong anak kedua daripada empat beradik ini muncul dengan single pertama berjudul The Old Him sekali gus merealisasikan impiannya untuk bergelar penyanyi.

Lebih membanggakan, anak jati Kuala Lumpur ini berani mempertaruhkan lagu Inggeris untuk single pertamanya itu.

“Saya memang serius mahu menjadi penyanyi. Minat menyanyi memang sudah lama timbul dalam hati saya, namun rezeki terlebih dulu ke arah lakonan. Memang saya tak ada belajar vokal, tetapi perancangan itu ada. Insya-Allah mungkin pada hujung tahun ini.

“Pada masa lagu dan lirik ini ditulis, saya berfikir dalam Bahasa Inggeris dan saya keluarkan apa yang terlintas di hati. Memang pada perancangan awal nak promosi lagu Melayu, namun atas nasihat orang-orang tertentu, saya siapkan lagu Inggeris The Old Him dulu.

“Lagu “The Old Him” merupakan inspirasi daripada perjalanan hidup saya. Keseluruhan ‘single’ ini dicipta dan lahir dari hati saya sendiri,” jelas Ainul yang mempertaruhkan irama ‘folk pop’ untuk single-nya.

Apabila ditanya siapakah ‘Him’ yang dimaksudkan, sambil tersenyum seribu makna, Ainul menjawab, “‘Him’ merupakan seseorang yang pernah rapat dengan saya.”

Dalam pada itu, Ainul turut mengakui bukan mudah untuk bertapak dalam bidang nyanyian apatah lagi semakin ramai artis baru berlumba-lumba mewarnai industri hiburan tanah air.

Namun, gadis berusia 25 tahun ini melihat perkara itu dari sudut yang positif dan mengambil ia sebagai satu cabaran buat dirinya.

“Tidak dinafikan kegelisahan yang timbul jika peminat tidak dapat menerima keunikan ‘single’ ini, namun saya telah sampaikan apa yang terikhlas dari hati saya. Apa-apa pun, saya berpuas hati dengan apa yang dihasilkan. Jika tidak diterima, sekurang-kurangnya saya dah buat yang terbaik untuk diri sendiri dan untuk pendengar,” katanya yang sudah mempunyai tujuh buah lagu dalam koleksi ciptaannya sendiri sejak dua tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: