Thursday, July 29, 2010

Aamir Khan tewaskan SRK

TIADA yang selamanya kekal di tangga teratas. Akan tiba masa jatuh dan kedudukan digantikan orang lain. Lantaran itu kepada mereka yang pernah berada di puncak kejayaan harus menerima hakikat yang kehidupan ini ibarat putaran roda.

pix_middle

BERJAYA...aksi Aamir dalam filem Lagaan yang melayakkannya menang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filmfare. AAMIR...terus mendaki puncak dengan tayangan 3 Idiots, tahun lalu. 3 IDIOTS..kejayaan filem ini yang dilakonkan Aamir  berjaya mengatasi semua filem pecah panggung di India. SHAHRUKH...kedudukan teratasnya kini dipintas. KAREENA...kini aktres paling popular.


BERJAYA...aksi Aamir dalam filem Lagaan yang melayakkannya menang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filmfare.
Jika sebelum ini Raja Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan (SRK), berada di tangga teratas carta bintang paling popular di Bollywood, 2010 nampaknya mengubah kedudukan itu menjadikan Aamir Khan yang terkenal di Malaysia dengan filem Mann dan Fanaa, memintas kedudukan SRK.

Aamir kini berada pada kedudukan No 1 dalam senarai aktor paling berjaya, popular dan berpengaruh di India yang hampir semua filem lakonannya berjaya mencapai kutipan pecah panggung.

Andai 10 tahun lalu filem lakonannya, Mela, kurang mendapat sambutan, lima tahun kebelakangan ini semua filem terbitan dan lakonannya berjaya memecahkan rekod kutipan. Pemilihan sensasi ini dibuat majalah terkenal Bollywood, Filmfare, baru-baru ini.

Antara filem Aamir yang berjaya menjadi fenomena di India ialah Mangal Pandey, Rang De Basanti, Lagaan, Taare Zameen Par, Ghajini, Luck dan aktor kacak itu terus mendaki puncak dengan tayangan 3 Idiots, tahun lalu.

Seluruh industri begitu terkejut dengan kejayaan filem 3 Idiots yang berjaya mengatasi semua filem pecah panggung sebelumnya. Oleh itu nantikan lagi buah tangan terbaru Aamir, Delhi Belly, Peepli dan Dhobi Ghat.Ketiga-tiga filem terbarunya itu sedang menunggu tayangan dan tidak mustahil akan turut mencipta kejayaan luar biasa.


Pada usia 45 tahun, Aamir bukan saja terus mengekalkan reputasinya sebagai pelakon yang diminati ramai, namun dia mampu menambahkan lagi portfolio dirinya bergelar produser, pengarah dan penyanyi latar.Untuk melengkapkan lagi keistimewaan dan kelebihan yang ada padanya, suami kepada Kiran Rao itu juga mencuri masa belajar memasak.

Resipi kejayaan Aamir, dalam melakukan apa saja pekerjaan mesti rasa gembira dan perasaan itulah yang membuatkannya lebih bersemangat.

"Saya akan memberikan sepenuh tumpuan terhadap kerja yang dibuat dan buat satu kerja dalam satu masa. Kalau saya mengarah, saya tidak akan berlakon dalam filem yang saya arahkan kerana kita akan hilang fokus," katanya. Seharusnya kata-kata Aamir itu memberikan tip kepada aktor lain.

Dengan kejayaan setiap filemnya, Aamir juga dikatakan pelopor perubahan kepada industri sinema Bollywood kerana keberaniannya mengutarakan tema segar.

"Sebenarnya saya tidak buat benda baru cuma saya persembahkan filem itu dalam bentuk yang berbeza daripada biasa. Lagipun saya rasa seseorang itu perlu melakukan sesuatu perkara itu menurut rasa hatinya sendiri dan berusaha mencapai segala yang diimpikan.

"Pada pandangan saya, yang berubah sekarang adalah penonton itu sendiri. Mereka mahu tengok filem lain daripada biasa dan kepelbagaian penceritaan. Penonton sekarang semakin bijak dan matang serta tidak mahu lagi disajikan dengan cerita yang balik-balik sama.

"Mereka dahagakan benda baru dan sebab itu apabila kita berjaya membuat filem yang subjeknya di luar jangkauan pemikiran mereka, filem itu akan diingat dan dihargai," katanya.

Kata Aamir, kalau dia tidak berjaya dalam bidang lakonan, dia memilih untuk menjadi ahli sukan.

"Saya sebenarnya pemain tenis yang bagus dan pernah bertanding mewakili wilayah Maharashtra dan saya juga meminati lapangan perguruan. Oleh itu saya berangan-angan untuk membuka sekolah filem dengan jumlah pelajar yang sedikit, tetapi sangat berminat untuk mengetahui apa itu filem," katanya.

Mengenali latar dirinya, Aamir dilahirkan di Hospital Bandra's Holy Family, Mumbai, India, dalam keluarga Muslim. Bapanya, Tahir Hussain terbabit secara aktif dalam industri filem di India selama berpuluh tahun dan ayah saudaranya, Nasir Hussain, seorang pelakon, pengarah dan produser terkenal.

Dalam berkarya, Aamir sangat cerewet dan sikap itu juga antara pendorong kejayaannya. Paling membanggakan filem lakonannya Lagaan pernah dicalonkan dalam Kategori Filem Bahasa Asing pada Anugerah Oscar ke-74.

Biarpun pulang tanpa kejayaan, pencalonan filem itu terus membantu menyemarakkan industri perfileman Bollywood pada peringkat antarabangsa. Lagaan juga adalah filem pertama terbitan syarikatnya, Amir Khan Productions.

Aamir memulakan kerjaya lakonannya pada 1973 dengan membintangi filem terbitan ayah saudaranya, Nasir, iaitu Yaadon Ki Baaraat (1973).

Dia berkecimpung secara profesional dalam dunia lakonan 11 tahun kemudian apabila muncul dalam filem Holi (1984). Pun begitu dia mula mengukir kejayaan apabila berlakon dalam filem arahan sepupunya, Mansoor Khan, Qayamat Se Qayamat Tak (1988) apabila memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik.

Dia terus merintis kejayaan apabila menang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filmfare menerusi lakonan cemerlangnya dalam filem Raja Hindustani (1996). Sekali lagi pada 2001, dia menang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filmfare menerusi Lagaan.

Banyak lagi anugerah yang diterimanya sehingga kerajaan India sendiri mengiktiraf kejayaannya dengan menganugerahkannya darjah kebesaran,
Padma Bhushan atas sumbangannya dalam dunia sinema.

Meskipun pernah dicalonkan beberapa kali dalam pelbagai majlis anugerah, dia tidak pernah menghadirinya kerana berasakan anugerah filem India tiada kredibiliti. Malah dengan bongkaknya, Aamir pernah berkata, siapa hendak tengok filemnya, tengoklah. Dia tiada masa untuk memikirkan atau mengambil tahu semua perkara dan apa orang cakap.

Walaupun begitu, dia tetap disanjung kerana hasil kerjanya yang membanggakan dan kerana itu juga patung lilinnya kini antara yang dipamerkan Madame Tussauds, London.

Dalam mengukir kejayaan, rumah tangga pertama yang dibinanya selama 15 tahun dengan Reena Dutta berkecai di tengah jalan. Menerusi perkahwinan dia dikurniakan dua anak, Junaid dan Ira.

Beralih kepada SRK yang jatuh pada tangga kedua pula, melihat kepadanya ketika ini, ia hanyalah sekadar nombor kerana dia masih antara aktor Bollywood yang masih menjadi pujaan ramai dan perjalanan hidupnya dijadikan dokumentari. Biarpun kebanyakan filemnya tidak dapat menandingi kehebatan filem lakonan Aamir, SRK terus menjadi perhatian pengarah.

Antara projek terbarunya filem Super Hero, Don 2 dan We Are Family arahan Karan Johar.

Hrithik Roshan pula menjadi pilihan ketiga. Yang lain turut berada dalam kelompok 10 paling popular adalah Salman Khan, Ranbir Kapoor, Akshay Kumar, Amitabh Bachchan, Saif Ali Khan, Abhishek Bachchan dan Shahid Kapoor.

Manakala Kareena Kapoor pula kini aktres paling popular diikuti rapat Kartina Kaif, Priyanka Chopra, Aishwarya Rai Bachchan, Deepika Padukone, Kajol, Vidya Balan, Bipasha Basu, Sonam dan Genelia D Souza.

Untuk kategori 10 pengarah paling berpengaruh, tangga pertama milik Rajkumar Hirani diikuti Karan Johar, Imtiz Ali dan Aamir sendiri turut tersenarai pada kedudukan keempat.

Yang lain adalah Sanjay Leela Bhansali, Vishal Bhardwaj, Aditya Chopra, Yash Chopra, Mani Ratnam dan Farhan Aktar. Komposer A Rahman terus mengungguli penggubah muzik paling berpengaruh di India. Semua hasil kajian itu diperoleh daripada AC Nielsen - ORG MAEG.


PROFIL

Nama sebenar: Aamir Hussain Khan
Tarikh lahir: 14 Mac 1965
Tempat lahir: Mumbai, India
Bapa: Tahir Hussain
Status: Berkahwin
Isteri: Kiran Rao (28 Disember 2005)
Anak: Junaid dan Ira (perkahwinan dengan Reena Dutta 1987 - 2002)
Filem: 3 Idiots, Lagaan, Madhosh, Mangal Pandey, Rang De Basanti, Taare Zameen Par, Ghajini, Luck, Yaadon Ki Baaraat
Penghargaan: Aktor Terbaik (Filmfare 2005), Pengarah Terbaik (Filmfare 2007), Anugerah Padma Bhushan dari kerajaan India (2010)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: