Monday, July 26, 2010

‘8 Bulan’ kongsi petua rancang kewangan

Penonton setia TV3 kini boleh menyaksikan sebuah drama bersiri baru ‘8 Bulan’ yang ditaja khas oleh HSBC Amanah Malaysia Berhad.

Drama lapan episod ini menampilkan kelainan kerana menyajikan penonton dengan tip-tip serta perancangan kewangan berlandaskan prinsip syariah yang disediakan oleh HSBC Amanah, Malaysia.

“8 Bulan berkongsi tentang pengurusan kewangan secara islamik yang disediakan oleh HSBC Amanah Malaysia.

“Ia merupakan sebuah siri drama ringan dan menghiburkan termasuk maklumat kewangan yang bermanfaat kepada penonton,” kata Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama TV3 dan TV9.

8 Bulan yang diarahkan oleh Imri Nasution membariskan pelakon-pelakon seperti pasangan suami isteri Vanidah Imran dan Rashidi Ishak, Tony Eusoff, Maizurah Hamzah, Norman Hakim, Yasmin Hani serta Nazril Idrus Ahmad.

Drama yang diterbitkan oleh Muhammad Azeril Zulkifli dari Red Communications ini mengisahkan sepasang suami isteri muda yang harus merancang kewangan mereka dalam tempoh lapan bulan kerana menunggu kelahiran anak pertama.

Linda (Vanidah Imran) merupakan seorang wanita berkerjaya manakala suaminya, Faizal (Rashidi Ishak) mempunyai personaliti yang berbeza di mana jawatan dan pendapatannya lebih rendah berbanding Linda.

Selepas mendapat berita Linda mengandung, mereka sedar bahawa mereka belum bersedia dari segi kewangan dan mental, namun Linda mendapat berita baik untuk dinaikkan pangkat dan mereka memerlukan perancangan kewangan yang rapi.

Untuk mengetahui kisah ini lebih lanjut tontonlah drama bersiri yang banyak memberi input positif yang bakal menemui penonton setia TV3 pada Ahad ini jam 10.30 malam.

Ikuti kisah mereka kerana penonton bakal mendapat pelbagai informasi yang berguna sepanjang lapan episod kisah 8 Bulan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: