Sunday, July 4, 2010

230 maut lori minyak meletup di Congo


SEORANG wanita membawa keluar anaknya dari kawasan kejadian letupan sebuah lori tangki minyak di wilayah Sud Kivu kelmarin.


KINSHASA - Sekurang-kurangnya 230 orang dikhuatiri maut dan 190 lagi cedera apabila sebuah lori tangki membawa muatan penuh minyak meletup dan membakar sebuah perkampungan terpencil di wilayah Sud Kivu, timur Congo lewat kelmarin.

Menteri Komunikasi, Mende Omalanga berkata, nahas berlaku apabila lori dari Tanzania yang dipandu laju itu terbabas ketika cuba memotong sebuah bas di Sange dekat sempadan Congo-Burundi kira-kira pukul 6 petang Jumaat (11 malam waktu Malaysia kelmarin).

Kebanyakan mangsa ketika itu sedang menonton perlawanan Piala Dunia 2010 antara Belanda dengan Brazil dan mereka dipercayai terbunuh apabila disambar api semasa mencuri limpahan minyak yang tumpah dari lori berkenaan.

"Ramai mangsa ialah kanak-kanak yang tidak sempat melarikan diri ketika lori itu meletup dan semasa pihak polis tiba, puluhan mayat bergelimpangan di kawasan kemalangan," kata pegawai Palang Merah wilayah tersebut, Leonard Zigade.

Sekumpulan anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang kebetulan berada dekat kampung itu turut membantu membawa mangsa terselamat ke beberapa buah hospital dengan tiga buah helikopter.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: