Monday, July 5, 2010

100 band setiap minggu


TIMBA ILMU. Woksyop diwujudkan bagi membimbing golongan pemuzik baru sebelum membabitkan diri dalam dunia muzik masa kini.


SEGMEN Kita Punya yang ke udara di stesen radio Hot FM bermula dari bulan Januari lalu telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada band-band tempatan yang sedang mencari landasan dalam industri hiburan tanah air.

Sambutan yang menggalakkan itu telah mendorong Hot FM bagi merealisasikan Woksyop untuk memberi panduan yang khusus kepada pemuzik-pemuzik tersebut agar mendapat gambaran yang sebenar.

Menurut Pengurus Besar Jenama dan Promosi Rangkaian Radio Media Prima, Zurina Othman, segmen selama dua jam bermula pukul 9 malam itu akan memperdengarkan hampir 30 buah lagu baru hasil karya anak tempatan.

Katanya, secara purata Hot FM menerima hampir 100 buah lagu setiap minggu melalui laman web, pos dan secara peribadi.

“Dengan kualiti audio yang pelbagai Hot FM terpaksa menapis untuk memperdengarkan lagu yang terbaik kepada para pencinta muzik tempatan khususnya pendengar Hot FM.

“Antara lagu yang berkualiti dan menjadi permintaan ramai sehingga berjaya menembusi carta Hot FM 30 seperti daripada Tilu, Projek Pistol, API, Azlan & The Typewriter, Joanna & Co, Projek Nadia, Grey Sky Morning, Romancesa dan Breakfast,” katanya pada satu sidang media di Restoran No Black Tie, Kuala Lumpur baru baru ini.

Menurutnya lagi, pihaknya memberikan peluang yang adil kepada setiap band mahupun artis, segmen itu akan terus memilih yang terbaik untuk ditampilkan ke khalayak umum.

“Berikutan dengan sambutan di luar dugaan, Hot FM akan merealisasikan sebuah bengkel yang bertujuan memberikan mekanisme yang tepat dalam konteks sebuah lagu pada 10 Julai ini.

“Bengkel selama sehari bermula pukul 12 tengah hari hingga enam petang itu akan menampilkan ikon-ikon besar yang sinonim dengan pencapaian cemerlang mereka dalam bidang ini,” tambahnya.

Woksyop yang berlangsung di Bentley, Mutiara Damansara itu membawakan penceramah jemputan terdiri daripada Ahmad Izham Omar, Audi Mok, Edris Adrian, Faizal Tahir, Cikgu Shafi, Taja Meet Uncle Hussein, Edrie Hashim, Arthur Kam, Sandy Monteiro, Che Mok dan Norman KRU.

Sementara itu, pemain gitar terkenal, Edrie Hashim berkata, dia yang dijemput menjadi penceramah pada majlis itu bakal memberi penerangan tentag cara-cara menggunakan gitar dengan betul.

“Saya lihat ramai pemain gitar yang baru banyak bermain gitar dengan cara yang tidak betul.

“Pada bengkel itu nanti saya akan jelaskan kepada mereka bagaimana cara yang betul. Selepas itu terpulang kepada mereka kerana setiap pemuzik mereka mempunyai cara tersendiri,” katanya.

Pengurus Artis & Repertoir Warner Music, Che Mok pula memberitahu, dia bakal membuat penerangan dengan lebih jelas berkenaan perkara-perkara dalam industri yang sebelum ini tidak diketahui pemuzik-pemuzik baru.

“Antara yang akan disampaikan ialah berkenaan hak-hak mereka sebagai seorang pemuzik.

“Ramai antara mereka tidak tahu perkara tersebut, dalam bengkel ini kami akan memberi pendedahan awal kepada mereka,” jelasnya.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai bengkel itu, mereka hanya perlu melayari laman sesawang www.hotfm.com.my dan mendaftar di situ.

Penyertaan hanya dibuka kepada 500 orang yang pertama sahaja. Segala-galanya disediakan dari segi material topik perbincangan hingga ke jamuan ringan.

Selain itu, peserta juga berpeluang untuk memenangi set dram, gitar, amplifier dan banyak lagi melalui cabutan bertuah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: