
KUANTAN - Kepercayaan orang ramai, pengurusan dan pentadbiran yang baik merupakan faktor utama yang membolehkan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) muncul antara 10 koperasi cemerlang di negara ini.
Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat memberitahu, adalah sukar bagi mana-mana koperasi untuk berkembang maju jika faktor-faktor tersebut diabaikan.
"Kami amat berbangga dengan anugerah cemerlang yang diberikan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia sempena sambutan Hari Koperasi Negara tahun ini.
"Untuk mencapainya, kami perlu berusaha gigih dan mengamalkan pengurusan dan pentadbiran kewangan yang baik selari dengan apa yang dilakukan untuk menyaingi bank-bank lain di Malaysia," katanya ketika ditemui Kosmo! di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 2 di sini semalam.
Pada majlis penganugerahan yang disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu, Bank Rakyat bersama sembilan lagi koperasi telah diiktiraf untuk menerima Anugerah Koperasi Cemerlang daripada 100 koperasi terbaik di seluruh negara.
Kamaruzaman berkata, sokongan padu ahlinya dari pelbagai bangsa yang berjumlah 789,673 orang secara berterusan turut memberi impak positif kepada bank itu untuk terus berkembang.
Sementara itu, Eddy Noorasraff Abdullah, wakil Koperasi Permodalan Felda Berhad yang turut meraih anugerah sama berkata, pihaknya berkongsi kejayaan itu dengan semua ahli koperasi tersebut.
"Kami berbesar hati kerana dapat memberi dividen yang tinggi kepada mereka dengan rekod terbaik dicatatkan pada tahun 2007 di mana dividen mencecah 16.5 peratus," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: