|
| BAGI mereka yang mengikuti siaran langsung Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) Ahad lalu, pastinya terpukau melihat aksi penyanyi Farah Asyikin ketika menyampaikan lagu Hello. |
Namun ada mengatakan persembahan penyanyi yang dicungkil menerusi program One In A Million (OIAM) bersama penari itu agak seksi dan menjolok mata dengan gaun atas lutut hingga mengundang rasa kurang senang penonton yang duduk di barisan hadapan Arena Of Stars, Genting Highlands. Perkara itu dinafikan Farah ketika diminta komennya.
"Saya tidak rasa penampilan saya seksi. Lagipun, saya memakai stokin hitam yang menutupi bahagian kaki. Kalau tengok balik persembahan malam itu di You Tube, anda akan dapat melihat yang warna kulit tangan dan kaki saya berlainan," katanya.
Apapun, Farah tidak menyalahkan penonton yang mengatakan penampilannya agak seksi mungkin disebabkan pantulan cahaya pentas malam itu hingga menampakkan gayanya dilihat seksi.
"Sebenarnya, saya sudah cuba sedaya upaya untuk tidak nampak seksi ketika menyanyikan lagu Hello. Lagipun, malam itu merupakan persembahan saya yang pertama di majlis berprestij seperti ABPBH dan tidak mungkin saya sanggup merosakkannya dengan populariti murahan.
"Bagaimanapun, saya memohon maaf sekiranya ada yang menganggap pakaian saya ketika menyanyikan lagu Hello menjolok mata kerana saya memang tidak terniat langsung untuk berpakaian seksi," katanya.
Bagi Farah, persoalan seksi itu bergantung kepada pandangan mata seseorang dan dia bersedia menerima teguran itu.
Sementara itu, katanya, dia kini sibuk menyiapkan beberapa lagu single yang bakal menampilkan kelainan berbanding album pertamanya.
"Sepatutnya album kedua saya keluar awal tahun ini. Namun disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, ia terpaksa ditunda dahulu.
"Disebabkan itu, saya mengambil keputusan mengeluarkan beberapa lagu single sebelum kemunculan album kedua," katanya.
Mengenai tawaran mengadakan persembahan, kata Farah, dia bersyukur kerana undangan persembahan tidak pernah putus diterima sehingga hari ini.
"Saya akui undangan menyanyi yang diterima kadangkala banyak dan ada kalanya kurang. Namun, alhamdulillah dalam sebulan, saya masih lagi dapat undangan mengadakan persembahan. Terbaru, saya membuat persembahan di Public Mutual dan Sunway Convention Centre," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: